Persempadanan semula agar Umno dapat ‘pak turut’, dakwa Izzah

Persempadanan semula agar Umno dapat ‘pak turut’, dakwa Izzah

Usul persempadanan semula ini dilihat sebagai rampasan suara rakyat majoriti daripada pemerintah yang hanya mendapat sokongan minoriti.

nurul-izzah1
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan untuk menyerang wakil rakyat berbangsa Melayu lantang mengkritik dasar kerajaan.

Katanya, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya ini dilakukan Umno agar wakil rakyat Melayu menjadi ‘pak turut’ kepada pemerintah di Dewan Rakyat.

“Jika tidak melakukan bantahan persempadanan semula SPR, maka ia seolah-olah memberi kemenangan mudah buat BN yang bergelut dengan masalah integriti memenangi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Izzah bukanlah satu-satunya ahli Parlimen yang membantah usul persempadanan semula SPR, sebaliknya ia turut dibantah Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang menyifatkan persempadanan boleh menjejaskan parti itu termasuk 5 kawasan di Selangor.

Naib Presiden PKR itu turut mendakwa pengundi di beberapa kawasan seperti Taman Sri Sentosa terkesan apabila mereka dipindahkan ke Parlimen Seputeh. Ia sekaligus menyukarkan untuk mereka keluar mengundi kerana pusat pembuangan undi yang jauh.

“Mereka juga enggan menerima persempadanan semula ini kerana kawasan Taman Sri Sentosa sudah sinonim dan bersesuaian dengan parlimen Lembah Pantai,” katanya.

Tambah Izzah, usul persempadanan semula dilihat sebagai satu strategi rampasan suara rakyat majoriti daripada pemerintah yang hanya mendapat sokongan minoriti.

“Kawasan Parlimen Lembah Pantai mengalami perubahan yang pelik dan ketara apabila 16,000 orang pengundi dipindahkan dari Sentosa Utara, Sentosa Selatan, Kampung Bahagia dan Kampung Bohol yang berada di bawah Parlimen 121 Lembah Pantai ke Parlimen Seputeh (nama baru: Sri Petaling).

“Lebih parah lagi apabila hampir 6,000 pengundi polis yang berada di kawasan Taman Tasik Perdana dimasukkan ke Parlimen Lembah Pantai. Sebelum ini, 6 000 pengundi anggota polis ini berada dalam parlimen Segambut pada PRU13,” katanya.

SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September lepas.

Syor kajian semula persempadanan itu mula dipamerkan bagi tempoh satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober ini, untuk tujuan semakan dan bantahan.

Pautan:

Gerakan bantah persempadanan pilihan raya kerana menjejaskan partinya

SPR dilarang bertemu parti pembangkang selama 1 bulan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.