
Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata tahun ini adalah tempoh paling mencabar sepanjang 34 tahun pengalamannya sebagai pemegang lesen import (AP).
“Pemantauan terhadap 100 syarikat berdaftar yang majoritinya milik Bumiputera menunjukkan statistik jualan kereta import sehingga September tidak sehebat dulu. Daripada 100 perusahaan berdaftar, hanya 8,825 buah kereta import yang dijual sehingga Ogos lalu.
“Seingat saya, 2012 merupakan tahun terbaik dari aspek bilangan jualan kereta import namun situasi bertukar sebaliknya sejak 2014,”katanya.
Zainuddin yang juga pemilik Zaibar Automobile Sdn Bhd, tidak menolak kemungkinan pengusaha kereta terpaksa ‘tutup kedai’ sekiranya keadaan ini berterusan untuk tempoh 2 tahun akan datang.
“Kita faham dengan situasi ekonomi seperti harga minyak jatuh dan tukaran wang ringgit yang tidak menentu memberi kesan kepada kuasa membeli. Trend menukar kereta yang dianggap keperluan tidak dipraktikkan lagi,”katanya.
Sepanjang Ogos lalu, syarikatnya hanya berjaya menjual 6 biji kereta import dan ia amat membimbangkan.
“Sejak Januari lalu syarikat saya hanya menjual 82 buah kereta. Berbanding 2010 hingga 2012, kami berjaya mencecah jualan sehingga 400 buah kereta sepanjang tahun,”katanya.
Ekoran itu, Zainuddin mencadangkan agar kerajaan memperbaiki sistem percukaian kereta dalam membantu lebih ramai Bumiputera terus kekal dalam sektor ini.
“Saya sudah berbincang dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed agar kerajaan ambil langkah memperbetulkan sistem percukaian yang tidak teratur.
“Syarikat-syarikat francais Bumiputera seperti Honda, Toyota, Mercedes dan sebaginya tidak memerlukan mereka membuat bayaran AP. Sebaliknya pemegang AP bebas perlu membayar sebanyak RM10,000 bagi setiap lesen kepada kerajaan.
“Dalam keadaan gawat begini, saya cadangkan bayaran AP diturunkan kepada RM5,000 atau mansuhkan. Kami tidak membuat keuntungan banyak melalui penjualan kereta, margin keuntungan maksimum adalah RM5,000. Kita juga bayar duti import 30% dan duti akses bergantung pada saiz enjin kereta berkenaan.
Bagaimanapun, 2 syarikat berjaya mencatat jualan kereta import terbaik untuk tempoh tahun ini iaitu Mutiara Motors Sdn Bhd dengan 392 buah kereta dan Yamud Enterprise dengan 546 buah kereta.
Selain itu, Pekema juga bakal memperketatkan sistem verifikasi secara talian permohonan lesen AP dalam memantau kes pembelian kereta klon dari Singapura bermula 1 Oktober ini.
Pembelian kereta klon bukan satu isu baru, segelintir pemandu di negara ini membeli kereta di Singapura yang sudah melebihi 5 tahun.
“Kereta ini tiada dokumen yang sah untuk digunakan di Malaysia walaupun di masukan secara sah. Ini jelas melanggar undang-undang di negara ini dan kita minta kerajaan ambil perhatian serius dalam hal ini,”katanya.