Upacara doa di sekolah perlu ajak bukan Islam turut sama

Upacara doa di sekolah perlu ajak bukan Islam turut sama

Upacara bacaan doa perlu mengambil kira hadirin yang berbilang agama dan mengajak mereka berdoa secara senyap.

doa_1
PETALING JAYA:
Sesi berdoa di sekolah perlu mengambil kira latar belakang agama semua murid, supaya murid bukan Islam boleh bersama-sama berdoa secara senyap menurut kepercayaan masing-masing ketika doa dibacakan untuk umat Islam, kata seorang ahli akademik veteran.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Tajuddin Rasdi, yang kini mengajar di Universiti UCSI, berkata ada dua bentuk bacaan doa, iaitu sama ada senyap atau kuat, seperti dalam sesebuah majlis.

“Ia perkara yang peribadi dan pilihan masing-masing.

“Di Indonesia, sebelum doa dibacakan, juruacara akan minta mereka yang bukan berbeza agama membacakan doa mereka secara senyap. Ia sangat mengagumkan. Itu cara yang sebaiknya,” katanya.

Katanya, amalan itu berbeza di Malaysia.

“Jika saya akan baca doa dalam satu acara, juruacara majlis patut tanya orang agama lain berbuat perkara yang sama. Itu tertib yang sempurna,” katanya.

Beliau mengakui sesetengah umat Islam tidak selesa mengiktiraf agama lain.

“Tetapi saya rasa, jika doa dimasukkan dalam acara rasmi, perlu ada juga pengiktirafan terhadap mereka yang berlainan agama,” katanya.

Beliau menganggap cara amalan Islam di negara ini boleh dibahagikan kepada 3: Islam lama, Islam yang diamalkan pada 1970-an, Islam 1980-an, dan amalan pada masa ini.

“Ramai warga emas yang kini berusia 70-an dan 80-an beritahu saya pergaulan bersama orang Islam pada zaman itu lebih mudah.

“Tapi kini, mereka kata susah kerana Islam diamalkan sebagai budaya pada zaman itu. Kemudian, pergerakan kebangkitan semula Islam mengambil alih,” katanya.

Tajuddin berkata ia berlaku selepas penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 1971.

“Abim cuba membawa orang Melayu mengikut landasan Islam yang mereka rasakan paling benar iaitu menurut ajaran para nabi, bukannya tafsiran Melayu yang bercampur dengan kepercayaan tradisional.

“Tetapi kebanyakan orang Melayu yang cuba mengikut ajaran Abim melihatnya sebagai identiti dakwah sosial baharu, dan malangnya mereka mula memisahkan diri daripada orang bukan Islam dan aktiviti kemasyarakatan mereka.

“Secara tidak sengaja ia menghakis hubungan antara kaum.”

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) Prematilaka Serisena berkata bacaan doa merentas agama adalah amalan biasa ketika Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn menjadi perdana menteri.

“Ia tidak lagi diamalkan di sekolah atau pada majlis rasmi sekarang. Ia berhenti selepas era Tun Razak menjadi perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata MCCBCHST berharap amalan itu dikembalikan kerana “ia perkara paling adil dan munasabah dilakukan dalam masyarakat pelbagai bangsa”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.