Mengapa dalang pembunuhan Bill Kayong masih bebas, soal PKR

Mengapa dalang pembunuhan Bill Kayong masih bebas, soal PKR

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian persoal mengapa begitu banyak senjata api diberi kepada syarikat perladangan suspek utama

Baru Bian
KUCHING: Tiga bulan sejak aktivis PKR Bill Kayong dibunuh, dalang jenayah terkutuk itu masih bebas, keluh Baru Bian.

Pengerusi PKR Sarawak itu berkata beliau mengaju soalan kepada Interpol bulan lepas sudahkah mereka memohon bantuan polis Australia untuk menahan suspek utama dan sama ada Kerajaan Malaysia sudah memohon ekstradisi suspek.

“Bagaimanapun, tidak ada jawapan diberikan dan saya ajukan soalan ini sekali lagi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR negeri hari ini.

Baru mendakwa tidak ada komunikasi antara Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pejabat Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia.

Bill, seorang aktivis tanah pribumi dan bekas calon PKR untuk DUN Bekenu mati ditembak di simpang lampu isyarat pintasan Kuala Baram di Senadin, Miri. Bill temui ajalnya ketika berumur 43 tahun.

Awal hari ini, Mahkamah Majistret di Miri menetapkan 28 Oktober sebagai sebutan kes tiga individu yang didakwa terbabit dalam pembunuhan Bill, termasuk seorang pemilik pub dan pengawal keselamatan.

Dua daripada mereka, Mohamad Fitri Pauzi, 29, dan Lie Chang Loong, 39, dikaitkan kepada suspek utama pembunuhan itu. Seorang lagi yang didakwa adalah Chin Wui Chung, 50.

Suspek utama berusia 43 tahun itu seorang bekas pengurus ladang.

Baru berkata polis menemui tujuh senjata api di rumah suspek utama seraya membangkitkan beberapa persoalan mengenai bagaimana orang awam boleh memiliki begitu banyak senjata api.

Awal minggu ini, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Ismawi Ismuni berkata pihak berkuasa diberi kuasa untuk memberi lesen senapang patah kepada kepada syarikat perladangan.

Jelasnya antara syarat yang perlu dipenuhi adalah polis bantuan yang diluluskan oleh polis.

Baru berkata kenyataan Ismawi itu membangkitkan beberapa persoalan.

“Mengapa syarikat itu perlukan begitu banyak senjata api? Banyak mana jumlah lesen yang boleh diberikan seorang pegawai daerah Miri kepada satu syarikat?

“Adakah kawalan ke atas siapa yang memiliki senjata dan dimana dan bagaimana ia disimpan?

“Mengapa syarikat mempunyai polis bantuan dan apa tugas mereka?”

Baru menggesa kerajaan supaya menilai semula dasar dan amalan berkaitan pemilikan senjata api, terutamanya apabila ada konflik antara syarikat dan masyarakat pribumi.

“Penjelasan yang tidak memuaskan daripada pihak berkuasa hanya menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat terhadap polis.

“Nyawa yang tidak bersalah terkorban, satu keluarga kehilangan suami dan bapa, dan kita semua masih menunggu keadilan untuk Bill Kayong.

“Sekurang-kurangnya berilah jawapan.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.