Kemudahan klia2 tak sehebat KLIA, AirAsia harap cukai kekal

Kemudahan klia2 tak sehebat KLIA, AirAsia harap cukai kekal

AirAsia berkata ia dibanjiri respon orang ramai yang mahu kadar semasa dikekalkan.

dairen
PETALING JAYA:
AirAsia hari ini berharap kerajaan tidak akan meneruskan hasrat menaikkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) di klia2 kerana kemudahan di terminal tambang murah itu jauh berbeza daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kemudahan di klia2 jauh lebih rendah tarafnya berbanding KLIA kerana tidak ada perkhidmatan aerotrain, kekurangan walkalator (pejalan kaki automatik), jarak berjalan yang jauh, pintu lebih kecil dengan prasarana menaiki pesawat yang tidak cekap, antara lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar.

“Perbezaan antara 2 terminal itu sendiri menjadi alasan utama PSC (di klia2) tidak boleh disamakan,” katanya.

Akhbar The Sun kelmarin melaporkan kadar PSC di lapangan terbang seluruh negara dijangka naik, termasuk bagi kategori penerbangan domestik dan Asean.

Ia memetik sumber penerbangan yang berkata PSC akan ditetapkan RM11 untuk penerbangan domestik, RM35 untuk Asean dan 73 untuk antarabangsa.

Laporan itu turut mendakwa kadar baharu itu sudah pun diluluskan kabinet pada Rabu dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan ia akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan.

Aireen berkata pihaknya yang merupakan syarikat penerbangan utama beroperasi dari klia2 dibanjiri respon orang ramai yang mahu kadar semasa dikekalkan.

PSC di KLIA pada masa ini ialah RM9 (domestik) dan RM65 (antarabangsa), manakala di klia2 RM6 (domestik) dan RM32 (antarabangsa).

Aireen mengingatkan industri penerbangan kini tidak hanya menumpukan pelanggan mewah tetapi merupakan satu keperluan untuk semua golongan.

“AirAsia merupakan pelopor tambang murah di Malaysia dan menjadi pemangkin perubahan industri penerbangan Asean dan pelancongan,” katanya.

“Kami berharap kebimbangan dan keprihatinan kami tidak berasas, tetapi sekiranya benar, kami bagi pihak penumpang dan pelanggan kami akan membuat rayuan kepada kerajaan Malaysia memansuhkan peningkatan cukai itu,” katanya yang turut memberi amaran Malaysia bakal hilang keupayaan bersaing sebagai pusat penerbangan tambang murah serantau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.