Robert De Niro nafi kaitan 1MDB selepas cerita hubungan dengan Jho Low

Robert De Niro nafi kaitan 1MDB selepas cerita hubungan dengan Jho Low

Ia selepas laporan mengaitkan anaknya Raphael dengan ahli perniagaan kontroversi Jho Low.

robert
PETALING JAYA:
Pelakon Hollywood, Robert De Niro berkata beliau tahu anak lelakinya, Raphael berperanan sebagai ejen dalam jualan 2 hartanah di New York kepada Jho Low, ahli perniagaan Malaysia yang dikaitkan dengan kemelut 1MDB.

Bagaimanapun, De Niro menafikan apa-apa kaitan.

“Saya tidak peduli jika nama saya dikaitkan dengannya. Saya tidak buat apa-apa. Saya tahu mengenainya tetapi saya tidak peduli.”

Portal The Hollywood Reporter (THR) memetik pemenang anugerah Oscar berusia 73 tahun itu sebagai berkata beliau tidak tahu bagaimana persahabatan Raphael dan Jho Low bermula.

De Niro juga mengesahkan kepada THR beliau pernah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor beberapa kali.

Pada 16 April 2010, De Niro merupakan antara tetamu dalam majlis yang dihadiri Najib dan Rosmah, ketika menerima Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa daripada Majlis Perniagaan untuk Persefahaman Antarabangsa.

Tiga bulan kemudian, De Niro berkunjung ke Malaysia dan bertemu Najib dan isteri.

Rosmah memberitahu media Malaysia pada masa itu, beliau memberikan jemputan peribadi kepada De Niro supaya pelakon itu “tidak mendengar perkara yang tidak betul” mengenai negara ini.

THR melaporkan kedua-dua hartanah New York itu terlibat dalam dakwaan penyelewangan seperti mana diperincikan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), dengan pangsapuri di Park Laurel ditukar milik kepada anak tiri Najib, Riza Aziz pada penghujung 2012.

De Niro berkata sebelum ini ada cakap-cakap beliau akan membintangi filem terbitan Red Granite, syarikat produksi milik Riza, tetapi ia tidak pernah berlaku.

Katanya, beliau bertemu Jho Low pada majlis hari jadi ahli perniagaan itu pada 2012 di Las Vegas. Menurutnya, Jho Low pada awalnya berminat membiayai filem The Irishman dengan De Niro dijangka sebagai pelakon utama.

“Tetapi itu sudah lama berlalu dan hanya cakap-cakap,” katanya.

THR melaporkan, menurut Yayasan Jynwel yang bertanggungjawab menyalurkan derma bagi pihak Jho Low menerusi Jynwel Capital (DoJ turut mendakwa yayasan itu dipergunakan untuk membuat pelaburan hartanah di AS menggunakan wang 1MDB), menderma wang kepada Tribeca Film Institute milik De Niro, terutama bagi program Tribeca Teaches.

Jurucakap Tribeca Film Institute memberitahu THR, ia tidak mempertikaikan sumbangan peribadi, tetapi tidak menafikan Yayasan Jynwel membuat derma.

Pada masa sama, De Niro berkata beliau tidak tahu berapa banyak yang didermakan organisasi Jho Low.

Sebelum ini, pelakon Leonardo DiCaprio yang membintangi filem Wolf of Wall Street terbitan Red Granite, turut dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB.

Pautan

Saman DoJ AS tidak libatkan saya, kata Najib

FBI siasat kelab DiCaprio dikaitkan dana 1MDB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.