Melayu masih ada kuasa membeli, kata usahawan veteran

Melayu masih ada kuasa membeli, kata usahawan veteran

Orang Melayu masih mengawal kuasa membeli, tetapi mereka harus ubah sikap mahu cepat senang.

moehamad-izat-emir_kedai_cina_600
KUALA LUMPUR:
Sebuah pertubuhan mewakili peniaga Melayu hari ini mengakui kaum Melayu masih di tahap lemah dalam pengetahuan menjalankan perniagaan, namun berkata mereka mempunyai kelebihan kerana mengawal pentadbiran negara di samping memegang kuasa membeli.

“Kita akui ilmu asas tentang perniagaan masih goyah jika dibandingkan masyarakat Cina.

“Masyarakat Cina kalau diberi peluang berniaga, mereka rajin tidak terhingga. Lihat sahaja keadaan di Bukit Tinggi dan Bentong. Sewaktu tempat itu masih semak samun, mereka sanggup berjuang di situ,” kata Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Izat Emir.

Beliau mengulas kenyataan bekas presiden MCA Tan Sri Tan Koon Swan yang masyarakat Cina masih dominan dalam ekonomi negara.

Dalam wawancara bersama Sin Chew Daily, Tan berkata walaupun syarikat besar dikawal kaum lain, kaum Cina masih menyumbang 70% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Tan juga mempersoalkan tanggapan kaum Cina tidak dilayan adil, dan berkata orang Melayu masih ramai hidup susah berbanding dengan kaum Cina.

Izat berkata walaupun orang Melayu masih ketinggalan dalam perniagaan, kemajuan Malaysia adalah kerana peranan kaum Melayu dalam pentadbiran negara.

“Malaysia menjadi negara maju kerana ditadbir dengan jayanya oleh masyarakat Melayu bukan kaum lain,” kata

“Hanya sebahagian kecil dari kaum bukan Melayu yang terlibat dalam pentadbiran negara. Harus diingatkan, kekayaan negara bukan bergantung kepada pembangunan semata-mata,” katanya kepada FMT.

Izat berkata realitinya, 80% kuasa membeli di negara ini adalah di tangan orang Melayu.

“Cuba lihat pengunjung di pusat beli belah. Kuasa pembeli ada di tangan kita. Pendapatan rendah tapi budaya membeli, orang Melayu adalah juara. Jadi kenapa takut untuk berniaga dan bersaing dengan kaum lain?” soalnya.

Kesilapan orang Melayu, menurut Izat, ialah mereka “mahu kejar untung dalam kadar segera”.

“Hendak berniaga harus ada kesabaran. Ada peniaga Melayu yang mahu cepat senang. Saya ambil contoh peniaga yang menyewakan premis kepada orang luar.

“Apabila pegawai penguatkuasa datang, baru tunjuk muka. Sikap seperti ini harus dibuang kalau kita ingin menandingi kaum lain untuk berjaya,” kata Izat yang pernah berniaga di tapak pasar malam.

Beliau memberi contoh produk kopi Hang Tuah keluaran tempatan yang menurutnya mampu ke pasaran global sekiranya dimodenkan.

“Lihat kejayaan Nescafe. Mereka akur dengan perubahan semasa dengan melakukan transformasi bagi mengekalkan sokongan pembeli biarpun sudah berpuluh tahun berada di pasaran. Saya yakin peniaga Melayu juga mampu berbuat sedemikian.

“Kedua, kaum Melayu tidak boleh berputus asas sekiranya produk yang mereka pasarkan tidak laku. Kalau itu tidak jalan, cuba jual benda lain sampai berjaya. Guna bantuan dari pihak agensi kerajaan dalam hal ini.”

Menurutnya, pengalamannya bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mendapati usahawan Cina ramai yang menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Sewaktu saya berkhidmat sebagai ahli Lembaga Sains Mardi untuk enam penggal, 70% kaum Cina datang mendapatkan perkhidmatan pakar dalam industri makanan dan pertanian,” katanya.

“Jangan takut berniaga. Kalau nak hidup senang, makan gaji atau jadi pak turut bukan penyelesaiannya. Pesan saya untuk anak melayu, usah takut untuk berniaga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.