Switzerland kesal Thailand tidak hantar pulang Justo

Switzerland kesal Thailand tidak hantar pulang Justo

Peguam Justo berkata anak guamnya tidak dihantar pulang kerana hukumannya hanya tinggal setahun.

xavier-justo-1
ZURICH:
Switzerland hari ini menyatakan rasa kesal dengan keputusan pihak berkuasa Thailand tidak menghantar pulang warganya Xavier Justo, yang merupakan antara saksi utama siasatan ke atas dakwaan penyelewengan membabitkan 1MDB.

Syarikat itu terbabit dalam siasatan di 6 negara termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Justo dipenjarakan 3 tahun di Thailand pada Ogos tahun lalu selepas mengaku bersalah cuba memeras ugut bekas majikannya, Petrosaudi, syarikat minyak yang berpusat di Arab Saudi yang merupakan rakan usahasama 1MDB.

Justo membocorkan beberapa dokumen sulit Petrosaudi berkenaan usahasamanya dengan 1MDB, seperti yang didedahkan media Malaysia dan antarabangsa awal tahun lalu, yang menjadi asas kepada siasatan dakwaan rasuah dan pengubahan wang.

Selepas tempoh hukuman penjara Justo dipendekkan kepada 2 tahun menerusi pengampunan diraja bulan lalu, pihak berkuasa Switzerland membuat permintaan agar Justo dihantar pulang menjalani baki hukuman.

Menteri Kehakiman Thailand Gen Paiboon Koomchaya dipetik Bernama berkata keputusan mengekalkan Justo di Thailand dibuat “berdasarkan undang-undang Thailand”.

Pejabat luar Switzerland berkata ia kesal dengan keputusan itu.

“Switzerland belum dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Thailand berhubung keengganan memindahkan Justo ke Switzerland,” katanya kepada Reuters.

Peguam Justo di Thailand, Worrasit Piriyawiboon, berkata anak guamnya tidak dihantar pulang kerana hukumannya hanya tinggal setahun.

Keputusan menafikan penghantaran pulang Justo diumumkan sejurus selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan lawatan rasmi ke Thailand. Bagaimanapun, kedua-dua kerajaan menafikan sebarang campur tangan.

Semalam, setiausaha akhbar Najib berkata delegasi Malaysia tidak pernah membangkitkan isu Justo.

Julai lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan permohonan merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang didakwa dilarikan dari 1MDB, syarikat yang diasaskan pada September 2009 bagi tujuan pelaburan hartanah dan tenaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.