
Dalam pertikaian dengan dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang waran tidak diperlukan ketika polis menahan seorang bekas wartawan di rumahnya di Petaling Jaya semalam, Siti berkata “tiada yang boleh melangkaui akta utama yang memerlukan waran”.
Meskipun Khalid tidak memperincikan seksyen mana yang digunakan pihak berkuasa ketika menahan Sidek Kamiso, FMT difahamkan menurut Seksyen 248 akta itu, pegawai polis berpangkat inspektor ke atas boleh melakukan penggeledahan dan merampas jika mempunyai sebab munasabah untuk percaya kelengahan mendapatkan waran di bawah seksyen itu, akan memudaratkan penyiasatan, atau keterangan perlakuan suatu kesalahan mungkin diganggu.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Siti berkata pihak berkuasa sudah pun mendokumentasikan bukti.
“Itu tweet kan? Di bawah bukti apa mereka boleh kata ada risiko serius yang bukti dilesapkan. Mereka perlu buktikan,” katanya kepada FMT ketika ditemui selepas menemani ahli Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Siti berkata Seksyen 258 akta sama menyatakan dengan jelas polis perlu mendapatkan waran.
“Mereka perlu melakukan siasatan dulu, kemudian baru boleh waran dikeluarkan. Tetapi dalam kes ini tidak ada siasatan. Mereka hanya buat tangkapan dan mohon reman.”
Sidek ditahan kerana menulis tweet berhubung kematian Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.
Beliau dibawa ke Johor untuk soal siasat.
Khalid berkata Sidek disiasat kerana menyalahgunakan media sosial di bawah Akta SKMM.
Isteri Sidek, Norlin Wan Musa terdahulu memberitahu wartawan beberapa anggota polis berpakaian biasa memasuki rumahnya pada jam 4.30 pagi untuk menahan suaminya tanpa memberi penjelasan kenapa beliau ditahan.
Bagaimanapun, Sidek dibebaskan daripada reman semalam selepas majistret di Johor menolak permohonan polis bagi mendapatkan perintah reman, dan mahkamah memutuskan berlaku “salah guna proses mahkamah”.
“Ketika mereka (polis) menahan orang ini, mereka sebenarnya bukan menyiasat. Sebaliknya, mereka hanya melanjutkan reman.
“Jadi, pujian kepada majistret kerana mendengar hujahan peguam Sidek,” katanya.
Katanya, polis sengaja mengheret Sidek hingga ke Johor, sedangkan reman boleh dipohon di Selangor.
“Mereka mahu tunjuk seperti ia pertunjukan besar dan menyusahkan untuk tahanan,” katanya.
Pautan: