
Menurut kajian saintis Universiti Harvard dan Universiti Columbia, angka kematian tidak rasmi yang direkodkan pihaknya jauh lebih tinggi daripada angka kerajaan Indonesia.
Penyelidik menggunakan bacaan pencemaran udara untuk mengira tahap pendedahan kepada asap bertoksik.
Indonesia dianggarkan sebagai negara paling teruk terjejas dengan 91,600 kematian.
“Kami menganggarkan jerebu pada 2015 mengakibatkan 100,300 kematian di seluruh Indonesia, Malaysia dan Singapura,” kata laporan itu seperti yang disiarkan dalam jurnal Penyelidikan Alam Sekitar semalam, petik AFP.
Kajian itu menunjukkan bilangan kematian 2 kali ganda lebih banyak daripada anggaran kematian akibat jerebu pada tahun 2006, dengan peningkatan drastik membabitkan penduduk wilayah Sumatera Selatan Indonesia.
“Pendedahan kepada udara tercemar meningkatkan risiko kematian menerusi beberapa penyakit seperti angin ahmar dan penyakit berkaitan pernafasan,” kata dalah seorang penyelidik Univerisiti Harvard, Dr Shannon Koplitz.
Bagaimanapun angka ini jauh berbeza dengan bilangan yang diumumkan agensi bencana Indonesia, hanya 24 orang meninggal dunia akibat kebakaran pada 2015.
Katanya, 12 orang terbunuh ketika memadamkan kebakaran dan 12 lagi akibat masalah pernafasan akibat jerebu.
“Tidak ada sebarang rekod (91,000 kematian pra-matang) seperti itu,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dari Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) kepada Fairfax Media.
“Data itu tidak sah. Jika benar terdapat begitu banyak jumlah orang yang mati akibat kebakaran dan jerebu, ia pasti diberitahu dalam persidangan akhbar kebakaran hutan yang dibuat hampir setiap hari,” katanya.
Tahun lepas agensi tersebut menganggarkan 43 juta rakyat Indonesia terdedah kepada asap kabut di Sumatera dan Kalimantan dan setengah juta orang berdepan masalah jangkitan saluran pernafasan.
Kebakaran hutan menjadi bencana tahunan di Indonesia dilakukan oleh syarikat-syarikat besar selain pemain sektor pertanian untuk membersihkan tanah berbanding kaedah konvensional tebang dan bersih.
Kebakaran hutan pada tahun lepas, diburukkan lagi oleh El Nino sekali gus menjadikan ia jerebu paling teruk di rantau ini sejak 1997.
Enam wilayah Indonesia mengisytiharkan darurat, sekolah ditutup di Singapura, Malaysia dan Indonesia, penerbangan dihentikan operasi dan kapal perang diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk memindahkan orang ramai dari jerebu bertoksik.
Kebakaran itu juga menyebabkan hubungan diplomatik antara Indonesia dan Singapura tegang, ekoran tahap pencemaran udara juga meningkat.
“Kebakaran di Indonesia dan jerebu akibatnya mungkin bencana alam sekitar global yang terbesar pada abad ke-21,” tulis profesor kehormat Universiti Queensland, Erik Meijaard dalam The Jakarta Globe pada tahun lepas.
Penganjur kempen Greenpeace Indonesia, Yuyun Indradi berkata susulan pendedahan angka kematian, pihak berkuasa harus bertindak segera kerana kegagalan berbuat demikian akan menjadi jenayah.
“Sekarang api kembali lagi. Pemain industri dan kerajaan perlu mengambil tindakan menghentikan pembersihan hutan dan saliran tanah gambut untuk perladangan,” tegasnya.
Jurucakap Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar, Novrizal berkata, Indonesia mengambil pelbagai pendekatan bagi mengelak berulangnya krisis jerebu tahun lepas.
“Mahkamah sivil pernah menghukum sebuah syarikat menuntut pampasan kira-kira satu trilion rupiah.
“Kami melakukan rondaan bersama TNI (tentera), polis, Kementerian Perhutanan dan penduduk tempatan di semua kawasan,” ujarnya.
Beliau juga berkongsi, berikutan tindakan itu, titik panas di Indonesia turun 82% pada 2016 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Penyelidik Universiti Harvard dan Columbia membangunkan sebuah peralatan membantu kerajaan mengenal pasti kebakaran yang berpotensi tinggi menyebabkan masalah kesihatan.