Gerai ayam masak kicap kini luaskan perniagaan seperti KFC

Gerai ayam masak kicap kini luaskan perniagaan seperti KFC

Sejak memenangi anugerah bertaraf dunia, gerai Chan dibanjiri pelanggan yang sanggup beratur selama 3 jam.

Chan-Hon-Meng-ayam-masak-kicap
SINGAPURA:
Seorang pemilik gerai makan yang dianugerahkan bintang Michelin Guide pada Julai lalu kini berusaha meluaskan perniagaannya di peringkat antarabangsa dan berharap dapat meraih sekurang-kurangnya S$2 juta (RM6.03 juta).

Warga Malaysia Chan Hon Meng, yang mendapat pengiktirafan untuk menu ayam masak kicap, memberitahu AFP beliau sedang berusaha mendapatkan rakan kongsi untuk menjadi sebuah francais antarabangsa “seperti KFC”.

Beliau juga memberikan contoh jenama Asia seperti Tim Ho Wan dari Hong Kong dan Din Tai Fung dari Taiwan yang turut memenangi anugerah 1 bintang Michelin.

Sejak memenangi anugerah itu, Chan didatangi beberapa pelabur dengan pelan mengembangkan perniagaannya.

Bagaimanapun, Chan menolak tawaran itu kerana mereka tidak cukup pengalaman operasi luar negara di samping tidak dapat memenuhi syaratnya.

“Saya berharap menerima S$2 juta, atau sekurang-kurangnya saham syarikat yang sama nilai. Saya mahu jenama ini ke pasaran luar negara dan saya maju menjadikannya sebuah francais seperti KFC,” katanya.

Chan kini dalam rundingan bersama sebuah syarikat makanan bertaraf dunia yang menawarkan saham syarikat di samping syarat lumayan.

Edisi pertama Michelin Singapura menamakan Chan salah satu daripada 2 pemilik warung yang memenangi anugerah restoran terkemuka itu.

Sepinggan nasi ayam yang dijualnya berharga S$2.50, menjadikan menu itu yang paling murah di antara menu bertaraf Michelin lain.

Sejak anugerah itu, gerai makan Chan menjadi tarikan dengan pelanggan yang sanggup beratur panjang sehingga 3 jam.

“Kebanyakan mereka ialah pelancong. Ramai pelanggan biasa saya kini tidak berpeluang makan di sini lagi, siapa yang boleh tunggu 3 jam?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.