Saya dari SJKC, masih berjiwa Malaysia, kata pemimpin PKR

Saya dari SJKC, masih berjiwa Malaysia, kata pemimpin PKR

Sim Tze Tzin berkata, perpaduan negara hanya dapat dicapai melalui penerapan nilai murni yang disampaikan dalam bahasa ibunda pelajar di setiap sekolah, bukannya dengan mewujudkan sekolah satu aliran dan penggunaan bahasa pengantar tunggal.

sim-tze-tzin_guru_cina_600
PETALING JAYA:
Walaupun pernah belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, beliau masih mengekalkan identitinya sebagai orang Malaysia, sama seperti rakannya yang belajar di sekolah kebangsaan atau aliran lain.

“Setahu saya, pelajar di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dididik dengan hanya mempunyai satu identiti nasional, iaitu Malaysia. Begitu juga dengan sekolah aliran Cina persendirian yang tidak dibiayai kerajaan.

“Apa yang penting ialah pelajar kita dididik untuk saling memahami, menghayati dan menghormati, maka perpaduan akan dicapai. Cara mengajar juga kena betul dan guru perlu mempunyai kesabaran ketika mengajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menepis dakwaan bekas ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, Prof Datuk Teo Kok Seong kononnya sekolah satu aliran untuk rakyat Johor mampu membuka langkah ke arah pengukuhan perpaduan sosial dan identiti satu bangsa pelbagai budaya.

Semalam, Teo dilaporkan berkata, negara mempunyai tujuh aliran sekolah rendah dan ia adalah punca menyebabkan rakyat pelbagai kaum mempunyai pelbagai identiti nasional.

Pandangan Teo itu seiring kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini yang membidas sistem persekolahan di negara ini.

Sim berkata, perpaduan negara hanya dapat dicapai melalui penerapan nilai murni yang disampaikan dalam bahasa ibunda pelajar di setiap sekolah, bukannya dengan mewujudkan sekolah satu aliran dan penggunaan bahasa pengantar tunggal.

Ini kerana, kata ahli Parlimen Bayan Baru, bahasa ibunda ialah bahasa pengantar yang paling berkesan dalam pembelajaran, kerana penggunaan bahasa lain hanya akan menyebabkan pelajar tidak memahami ilmu yang disampaikan guru.

“Penggunaan bahasa pengantar yang bukannya bahasa ibunda seseorang pelajar akan menjejaskan pembelajaran dan pemahaman pelajar.

“Ini terbukti dengan kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), di mana kebanyakan pelajar tidak dapat memahami dan mempelajari ilmu sains dan matematik dengan baik, kerana mereka belum menguasai bahasa Inggeris dengan baik,” katanya.

Pautan:

Ahli majlis pendidikan negara sokong TMJ sekolah satu aliran di Johor

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.