
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata lesen peminjam wang akan diberi oleh kementerian mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011 atau Akta 400.
Noh berkata kerajaan membolehkan peminjam menyediakan pinjaman perumahan sehingga 100% untuk mengatasi kesukaran pembeli mendapatkan pinjaman bank.
“Cadangan ini adalah penyelesaian menang-menang utuk pemaju dan pembeli rumah,” katanya dalam ucaptama di Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan ke-19 di sini hari ini.
Inisiatif itu terbuka kepada semua orang, termasuk pembeli rumah kedua.
Noh berkata pembeli rumah yang gagal mendapatkan pinjaman untuk hartanah mereka boleh memohon pembiayaan melalui skim ini.
Beliau berharap inisiatif ini akan memudahkan pembeli mendapatkan kediaman idaman mereka.
Kadar faedah untuk pinjaman itu tidak boleh melebihi 12% untuk pinjaman bercagar dan 18% jika tanpa cagaran.
“Terpulang kepada pemaju untuk tawarkan pembiayaan kepada siapa.”
Mengikut statistik Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), 18,908 (23%) daripada 81,894 unit hartanah perumahan dan komersil dilancarkan pada suku pertama 2016 – dengan nilai RM9.4 bilion – belum terjual.
Sementara itu, Noh menuduh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperdaya orang awam tentang harga ‘murah’ rumah berpejabat (SoHo) dan rumah berpejabat maya (SoVo) di negeri itu, dengan menyekat maklumat.
“Azmin kata harga rumah itu dikurangkan daripada RM400,000 kepada RM200,000, dan katanya dengan harga yang dikurangkan itu, mengapa perlu bagi diskaun Bumiputera.
“Saya mahu Azmin menyatakan saiz unit terlibat. Orang boleh terkeliru jika tak beritahu,” kata Noh dalam satu sidang media kemudiannya.
Selangor baru-baru ini memberikan diskaun 10% untuk pembelian hartanah kepada semua pembeli unit pangsapuri berservis, SoHo dan SoVo tanpa mengira kaum.