
Badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata perkara itu akan mendatangkan kesan terhadap PKR.
“Dalam PKR ini ada yang betul-betul bermusuhan (dengan) individu macam Dr Mahathir dan dia mungkin ambil masa untuk boleh bersalam seperti mana Anwar buat,” kata Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan, kepada FMT.
Isnin lepas, Dr Mahathir tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan kepada bekas timbalannya yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Kedua-dua pemimpin yang pernah bersama memimpin negara pada 1990-an itu dilihat bertegur sapa dan bersalaman, dalam pertemuan pertama selepas genap 18 tahun dan tiga hari Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah beberapa pemimpin tertinggi PKR, termasuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, yang sebelum ini mengakui mengekalkan persahabatannya dengan Dr Mahathir walaupun membela Anwar.
Wan Saiful tidak menolak susulan pertemuan Dr Mahathir dan Anwar itu, akan wujud pihak yang menuduh Azmin cuba menunjukkan pengaruh dan kuasanya dalam PKR.
“Saya tak terkejut sekiranya ada tuduhan seperti ini,” tambahnya.
Bagaimanapun, Wan Saiful berkata Dr Mahathir dan Anwar tidak akan bergabung dalam satu platform yang sama.
“Apa yang mungkin akan berlaku dia mungkin akan bergabung pakatan politik,” katanya.
Bersatu semacam malas
Wan Saiful berkata Barisan Nasional (BN) masih ternanti-nanti apa yang bakal dilakukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) naungan Dr Mahathir, yang menunggu kelulusan permohonannya.
“Impak kepada BN ini bergantung kepada sepantas mana Bersatu mengambil kesempatan terhadap pertemuan itu. Sekarang ini saya terus terang, Bersatu ini macam agak malas untuk bergerak nampak gayanya.
“Kalau Amanah masa mula-mula dia ditubuhkan, dia umum penubuhan itu habis satu Malaysia dia jelajah. Tapi Bersatu ini nampak kurang sikit.
“Di pihak BN, kalau Bersatu tak dapat mengambil kesempatan terhadap perjumpaan ini, saya rasa BN tidak terlalu terkesan akibat pertemuan itu,” katanya.
Pautan: