Benarkan semburan kabus nyamuk dalam rumah, seru pakar

Benarkan semburan kabus nyamuk dalam rumah, seru pakar

Pengabutan di luar rumah sahaja tidak cukup kerana aedes dalam rumah yang dikenali sebagai Aedes Aegypti yang lebih membahayakan.

zika_malaysia_600_
KUALA LUMPUR:
Sikap masyarakat yang enggan membenarkan semburan kabus dilakukan dalam rumah mereka antara punca ancaman penyakit berkaitan nyamuk aedes termasuk Zika sukar dibasmi di negara ini.

Pakar Parasitologi dan Entomologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Hidayatul Fathi Othman berkata berdasar kajian yang dijalankannya di sebuah taman perumahan di selatan tanah air mendapati kurang daripada 40% penduduk membenarkan semburan kabus dilakukan dalam rumah mereka, sedangkan nyamuk aedes yang berada dalam rumah lebih membahayakan.

“Pengabutan di luar rumah sahaja tidak cukup kerana aedes dalam rumah yang dikenali sebagai Aedes Aegypti ini yang lebih membahayakan kerana ia boleh terbang sehingga 200 meter dan hanya memakan darah manusia.

“Aedes di luar rumah (Aedes Albopictus) hanya boleh terbang sejauh 80 meter dan boleh memakan darah binatang selain darah manusia.

“Jadi bayangkan sekiranya saya membenarkan pengabutan dilakukan dalam rumah saya tetapi jiran saya tidak membenarkan ‘fogging’ dilakukan dalam rumahnya, jadi Aedes Aegypti yang boleh terbang jauh itu akan datang ke rumah saya pula,” katanya kepada Bernama, di sini.

Pakar yang lebih 20 tahun menjalankan kajian terhadap nyamuk aedes itu memberitahu kajian terbaru yang dijalankan pihaknya tahun ini di sebuah taman perumahan di Bandar Baru Bangi, Selangor pula mendapati 99.5% penduduk mempunyai pengetahuan luas berkenaan demam denggi.

Dr Hidayatul berkata hanya 47% penduduk di kawasan yang merekodkan jumlah kes demam denggi yang tinggi itu, mempunyai pengetahuan luas berkenaan nyamuk aedes.

“Perkara ini amat menyedihkan kerana masyarakat kita mempunyai maklumat yang luas berkenaan demam denggi seperti simptom dan cara merawatnya tetapi tidak tahu banyak tentang penyebabnya iaitu nyamuk aedes. Padahal kita perlu tahu siapa ‘pembunuh’ (nyamuk aedes) kita. Macam hendak berperang, kita kena tahu siapa lawan kita,” katanya.

Selain itu beliau berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengambil serius akan kepentingan membersihkan kawasan kediaman mereka memandangkan semburan kabus hanya membunuh nyamuk dewasa.

Katanya aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman boleh dilakukan dengan cara yang menghiburkan seperti acara mencari harta karun dengan mencari dan membasmi kawasan takungan air.

“Untuk itu saya menyeru semua pemimpin setempat sama ada wakil rakyat dan ketua kampung supaya menganjurkan aktiviti pembersihan kawasan secara kerap kerana ini merupakan perkara yang paling senang dilakukan untuk membunuh nyamuk
aedes,” katanya.

Sementara itu, perunding sebuah syarikat perdagangan tempatan, Sara Kwok mendedahkan mengenai teknologi terkini perangkap nyamuk dari Eropah, ABIOTIC H-trap.

Beliau berkata ABIOTEC H-trap direka untuk diletak di kawasan luar dan ia boleh berfungsi tanpa bahan kimia atau elektrik.

“Bola getah hitam (terlekat pada perangkap) akan dipanaskan oleh matahari dan nyamuk mengenalinya melalui haba inframerah iaitu sebagai badan manusia.

“Memandangkan ia sukar untuk mendapatkan darah, nyamuk ini akan mengikut tingkah laku semula jadi mereka dan secara semula jadi terbang ke atas, dan akan dilorong memasuki ke saluran bekas perangkap. Perangkap itu dipenuhi air dan ia akan mati dalam bekas perangkap itu.

Sara berkata demikian kepada Bernama di luar Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu 2016 di sini semalam.

Beliau berkata produk itu diletakkan di beberapa lokasi termasuk di kelab golf tempatan sebagai eksperimen yang terbukti berjaya mengurangkan populasi nyamuk di kawasan persekitaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.