
Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar berkata demikian mengulas kenyataan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan yang melaporkan bilangan penagih wanita di Negeri Serambi Mekah meningkat 3.27% tahun ini.
“Sekarang ini anak-anak muda lebih bebas dan mungkin disebabkan kurangnya kawalan ketat berbanding dahulu. Kalau dahulu anak-anak perempuan nak keluar sentiasa dihalang oleh ibubapa,” kata Abdul Fattah kepada FMT.
“Tetapi sekarang ini disebabkan ramainya wanita-wanita, anak-anak muda, gadis-gadis ini telah mengambil posisi dalam masyarakat sebagai sumber tenaga,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam, Pengarah AADK Kelantan Wan Addenan Wan Mohd Noor dilaporkan Berita Harian sebagai jumlah penagih wanita di Kelantan meningkat kepada 320 orang tahun ini berbanding 250 orang pada 2014.
Semua wanita yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine, dan berusia antara 17 hingga 40 tahun, menurut laporan itu.
Secara keseluruhannya, Kelantan mencatatkan 1,994 orang penagih tahun lalu, meningkat 7.48% daripada tahun sebelumnya; 1,683 darinya adalah penagih baharu, manakala 311 adalah penagih berulang.
Angka tersebut menunjukkan ada tren peningkatan jumlah penagih di Kelantan sejak 2013 (895 orang) dan 2014 (1,399).
Mengulas lanjut, Addenan menjelaskan sebelum ini dadah yang dibawa masuk ke Kelantan daripada Thailand adalah untuk pasaran luar negeri itu.
“Tetapi dalam setahun dua ini kita dimaklumkan ada sebahagian pil kuda ini tercicir sebagai pasaran di negeri Kelantan. Sebab itu ada peningkatan yang dikesan,” katanya.