
Kejadian pada Isnin lalu itu berlaku di Bonifacio, ketika ibu bapa sedang menghantar anak mereka pada hari pertama persekolahan.
Pendakwa raya, Eric Bouillard ketika mengesahkan satu laporan di akhbar Corse-Matin berkata, dua ibu itu dihalang dua beradik lelaki yang tidak berpuas hati kerana anak mereka dilarang memakai lambang agama ke sekolah, tetapi wanita berkenaan boleh memasuki tadika terbabit dengan memakai tudung.
Beliau berkata, anggota polis serta seorang inspektor sekolah dihantar ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan dan tiada keganasan, ancaman mahupun sebarang pelanggaran undang-undang.
Datuk Bandar Bonifacio, Jean-Charles Orsucci pula berkata, pegawai pendidikannya turut campur tangan dan membenarkan dua wanita itu memasuki tadika berkenaan.
Perancis melarang pelajar dan guru memakai simbol agama masing-masing ke sekolah, tetapi larangan itu tidak dikenakan ke atas ibu bapa.
Ia adalah kejadian terbaharu membabitkan ketegangan agama di Perancis, selepas larangan memakai baju renang tutup aurat yang dikenali sebagai burkini dilaksanakan beberapa pihak berkuasa di selatan Perancis.
Semalam, sebuah mahkamah di Bastia, Corsica menyokong larangan memakai burkini itu dengan alasan ia sah di sisi undang-undang demi mengekalkan ketenteraman awam.
Ia susulan pergaduhan besar antara penduduk tempatan dan warga Maghribi pada pertengahan bulan lalu yang dilaporkan berpunca daripada tindakan seorang individu mengambil gambar seorang wanita bertudung sedang berenang di laut yang akhirnya memaksa campur tangan lebih 100 anggota polis untuk menghentikan kejadian itu.
Bulan lalu, mahkamah pentadbiran tertinggi di Perancis menggantung larangan memakai burkini yang dilaksanakan beberapa bandar kerana melanggar kebebasan asasi manusia.
Pautan: