Perangkap nyamuk diwajibkan di semua kawasan pembinaan

Perangkap nyamuk diwajibkan di semua kawasan pembinaan

Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disaran memainkan peranan meletakkan syarat pemasangan perangkap serangga ke atas pemaju projek perumahan.

noh-omar
PETALING JAYA:
Pemasangan perangkap serangga kini diwajibkan di setiap tapak pembinaan projek perumahan baharu di bawah kerajaan persekutuan, selain projek landskap di taman rekreasi awam.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata langkah itu diambil bagi membendung penularan jangkitan penyakit bawaan nyamuk seperti wabak denggi dan virus Zika.

“Mulai hari ini, kita letak syarat dalam lesen bahawa pemaju diwajibkan memasang alat perangkap serangga dan sekiranya didapati tidak mengikut arahan, tindakan denda atau gantung lesen boleh dikenakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan pangsapuri Taman Medan Cahaya di sini, semalam.

Katanya sudah ada Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, termasuk seksyen tertentu, yang menekankan tindakan perlu diambil bagi mengatasi masalah serangga yang boleh membawa penyakit.

Noh berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan dengan meletakkan syarat pemasangan perangkap serangga ke atas pemaju projek perumahan yang diluluskan kerajaan negeri.

“Kita ada keluarkan surat pekeliling kepada PBT dan meminta mereka melaporkan kepada kementerian mengenai perkembangan kes denggi dan Zika kerana sebelum ini kerajaan ada menyediakan peruntukan kepada mereka untuk tangani kes seperti ini,” katanya.

Malaysia mencatat kes Zika pertama apabila seorang wanita yang menetap di Klang, Selangor disahkan positif dijangkiti virus itu selepas pulang dari Singapura pada 21 Ogos.

Kes jangkitan Zika kedua melibatkan seorang lelaki berusia 61 tahun dari Likas, Sabah. Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung yang dialaminya.

Pautan:

Pesakit Zika di Sabah maut akibat komplikasi jantung

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.