Penerbit buku Irshad Manji gagal cabar tindakan Jais

Penerbit buku Irshad Manji gagal cabar tindakan Jais

Ezra Zaid akan dibicarakan di Mahkamah Syariah mengikut seksyen 16 atas kesalahan menjual dan mengedarkan buku yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Ezra-Zaid_book_law_600
KUALA LUMPUR:
ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya Ezra Zaid gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi hari ini, untuk mencabar tindakan jabatan agama merampas buku pengarang Kanada, Irshad Manji, 4 tahun lalu.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan syarikat itu pada 2012 bagi mendapatkan kebenaran mempertikaikan sah atau tidak tindakan Jabatan Agama Islam Selangor itu (Jais).

“Bantahan awal daripada kerajaan negeri Selangor dibenarkan kerana isu itu sudah selesai,” katanya selepas mendengar hujahan peguam Fahri Azzat yang mewakili Ezra, penolong penasihat guaman kerajaan negeri Selangor Naziah Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

“Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor yang dipersoalkan sudah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Mahkamah tertinggi sudah pun mengisytiharkan seksyen itu sah,” katanya.

Hakim berkata mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap enakmen yang dipertikaikan itu.

Mahkamah tidak memerintahkan sebarang kos diberikan.

Pada September tahun lalu, mahkamah tertinggi memutuskan undang-undang syariah di Selangor mengikut perlembagaan dan dewan undangan negeri tidak melebihi kuasanya.

Keputusan mahkamah hari ini bermakna Ezra perlu dibicarakan di Mahkamah Syariah, mengikut seksyen 16, iaitu adalah menjadi kesalahan kerana menjual dan mengedarkan buku yang dianggap bertentangan dengan prinsip Islam.
Ezra mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan minta dibicarakan di Mahkamah Syariah pada Mac 2013.

Jais menyerbu pejabat ZI Publications pada Mei 2012 dan merampas 180 salinan terjemahan buku Irshad bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta” (Allah, Freedom, and Love).

Ezra memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar rampasan itu dengan menamakan Jais, pengarahnya, pegawai penguat kuasanya, ketua pendakwa syarie dan kerajaan Selangor serta Malaysia.

Beliau memohon untuk membatalkan Seksyen 16 dalam Enakmen Syariah itu, memetik ia tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.