
Dalam klip video berdurasi 2 minit setengah yang dimuat naik di Facebook itu, mangsa berkenaan ditumbuk, ditendang, disepak dan dibaling dengan kerusi plastik dalam bilik darjah.
Apabila mangsa cuba untuk bangun dari lantai, pembulinya terus melempang dan mencekik mangsa.
Beberapa rakan sekelasnya duduk di sekitar kelas itu dan menyaksikan mangsa dibuli, sementara ada yang ketawa sambil merakamkan insiden itu menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Serangan itu mencetuskan kemarahan netizen, yang kebanyakannya bengang dengan insiden berkenaan dan mempersoalkan di mana guru pada masa berkenaan.
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Steady Uchu Tuai Rmh berkata mungkin guru tidak menjalankan tugasnya sementara Mike Lim berkata guru makan gaji buta.
“Ini sistem pendidikan yang dipolitikkan hari ini,” kata Sawadee Sabaai.
Video itu ditonton 90,000 kali dan dikongsi lebih 5,000 kali sejak dimuat naik kira-kira 11 jam lalu.
Individu yang memuat naik video itu bagaimanapun tidak menyebut di mana insiden itu berlaku.
Baru-baru ini, pelajar tingkatan 2 terpaksa dimasukkan ke ICU kerana pendarahan dalam otak selepas dipukul pelajar tingkatan 3 di sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Lok Yim Pheng menggesa hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelajar yang membuli di sekolah.
https://www.youtube.com/watch?v=2be0iMniToc