2 lagi pengebom berani mati Malaysia terbunuh di Syria

2 lagi pengebom berani mati Malaysia terbunuh di Syria

Setakat ini, 9 rakyat Malaysia meletupkan diri mereka demi IS, kata laporan itu.

Suicide-bomber
PETALING JAYA: Dua lagi rakyat Malaysia yang menjadi militan IS terbunuh di Syria, lapor akhbar New Straits Times, hari ini.

Menurut laporan itu, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu dikenal pasti sebagai Hasan Zakaria dan “Abu Salim” meletupkan diri mereka dalam dua pertembungan berasingan dengan askar Syria, minggu lalu.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Izzul Imam Mohd Isa terbunuh selepas terkena peluru berpandu Tentera Udara Syria pada 25 Ogos, lapor akhbar itu.

Hasan, yang memakai tali pinggang letupan, dilaporkan meletupkan dirinya ketika dalam pertempuran dengan tentera Syria di Raqqa, kubu kuat IS, pada Selasa lepas, sementara “Abu Salim” (hanya dikenali dengan nama samarannya) terbunuh 2 hari sebelum itu, juga di utara Raqqa.

Akhbar harian itu melaporkan, Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan kematian 3 warganegara Malaysia itu.

Hasan dan Izzul dikatakan meninggalkan Malaysia pada 2014, sementara maklumat mengenai “Abu Salim” masih sukar didapati.

Muhammad Wanndy Mohamed Jedi – militan IS rakyat Malaysia yang giat merekrut orang tempatan menyertai kumpulan itu, meraikan kematian 3 lelaki itu di media sosial, berkata mereka mati syahid, kata laporan itu.

Ayob berkata kira-kira 90 rakyat Malaysia pergi ke Syria dan Iraq – dengan 58 lagi masih berada di sana. Lapan sudah kembali ke tanah air dan kini dalam tahanan polis.

Sejumlah 24 rakyat Malaysia yang menjadi ahli IS maut di 2 negara itu, lapor akhbar berkenaan. Ini termasuk 9 pengebom berani mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.