Zika: Pemeriksaan kerap di pintu masuk antarabangsa

Zika: Pemeriksaan kerap di pintu masuk antarabangsa

Timbalan menteri kesihatan berkata pemeriksaan turut meliputi suhu badan, yang merupakan petanda awal bagi serangan virus Zika.

hilmi-zika
GEORGE TOWN:
Kementerian Kesihatan kini mengadakan pemeriksaan yang kerap di semua pintu masuk antarabangsa termasuk sempadan di Johor, Kedah, Kelantan dan Perlis ekoran wabak Zika yang melanda beberapa negara jiran.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pemeriksaan turut meliputi suhu badan, yang merupakan petanda awal bagi serangan virus Zika.

Berikutan ancaman Zika, Dr Hilmi menggesa seluruh masyarakat Malaysia supaya memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah mereka disebabkan nyamuk Aedes adalah punca Zika dan denggi.

Beliau berkata Zika lebih berbahaya berbanding denggi kerana ia boleh disebarkan menerusi hubungan seks, dipindahkan daripada ibu kepada anak dan mempunyai kesan jangka panjang terutamanya dalam kalangan bayi baru lahir.

“Selain usaha yang kementerian seperti melakukan semburan asap dan ujian percuma di 12 hospital utama serta 5 makmal kesihatan awam, saya menggesa masyarakat membantu memerangi Aedes di kediaman mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Hilmi turut menasihati ibu mengandung yang bimbang dijangkiti Zika supaya menjalani pemeriksaan bagi melindungi diri dan kesihatan mereka.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap penjual vaksin homeopati tidak berdaftar di bawah bidang kuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan.

“Jangan menjual semata-mata hendak berniaga kerana kita tidak tahu sama ada ubat itu melalui ujian klinikal atau tidak. Mungkin ada kesan sampingan yang kita tidak tahu,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan kira-kira 10 premis homeopati didapati menjual vaksin palsu yang didakwa boleh mengubati penyakit berbahaya dalam kalangan bayi.

Ketika ini, Kementerian Kesihatan membelanjakan lebih RM11 juta setahun untuk menyediakan 13 jenis vaksin percuma dan dijamin halal bagi umat Islam.

Kadar tertinggi penolakan vaksin di negara ini dicatatkan di Kedah dan menurut Dr Hilmi, ibu bapa yang enggan memvaksin anak mereka sebenarnya bersikap kejam memandangkan tindakan itu boleh mengakibatkan anak terdedah kepada pelbagai jenis virus atau bakteria pembawa maut, misalnya bakteria yang menyebabkan difteria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.