Tony Fernandes rancang hospital mampu milik

Tony Fernandes rancang hospital mampu milik

Kumpulan itu, yang majoritinya dimiliki hartawan penerbangan Tan Sri Tony Fernandes menubuhkan pasukan khas untuk meneroka pelbagai model perniagaan penjagaan kesihatan.

tony
PETALING JAYA:
Tune Group Bhd sedang mempertimbangkan untuk mengembangkan perniagaan dalam penjagaan kesihatan yang mampu milik, lapor The Malaysian Reserve (TMR), hari ini.

Akhbar perniagaan harian itu memetik sumber perbankan dan kerajaan sebagai berkata kumpulan itu, yang majoritinya dimiliki hartawan penerbangan Tan Sri Tony Fernandes merancang untuk melancarkan Tune Care tidak lama lagi.

Tony juga dikatakan sudah bertemu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam bulan lalu untuk memberi taklimat mengenai pelan perniagaan asas Tune Care, kata laporan itu.

“Sumber yang dekat dengan pembangunan itu memberitahu TMR yang Tune Group sudah menubuhkan pasukan khas untuk meneroka pelbagai model perniagaan penjagaan kesihatan, termasuk makmal diagnostik, klinik dan hospital.

“Satu pasukan diketuai Dr Pal Singh, seorang rakyat Malaysia sedang mengusahakan pelan perniagaan itu. Pengumuman akan dibuat pada lewat tahun depan,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, Tony sebagai pemilik bersama Tune Group dan Datuk Kamarudin Meranun sudah lama berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan mampu milik, sejak syarikat itu diasaskan pada 2001.

Kumpulan itu kini menjalankan perniagaan seperti hotel mampu milik, telekomunikasi dan insurans.

Laporan itu juga memetik Kamarudin sebagai mengesahkan “beberapa perkembangan” sedang berlaku dalam Tune Care dan kepimpinan Pal dalam syarikat itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

“Kami meminta Pal bertemu dengan kumpulan Tata, yang mempunyai hospital barah di India. Ini hanya untuk meneroka pelbagai model perniagaan,” katanya.

Beliau berkata Tune Group “teruja” untuk memuktamadkan model perniagaan untuk Tune Care dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, Kamarudin berkata pihaknya bimbang mengenai “isu liabiliti” dalam perniagaan penjagaan kesihatan.

“Kami cuba untuk melihat potensi liabiliti kerana kami akan menjalankan penjagaan kesihatan mampu milik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.