
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata berdasarkan siasatan terperinci yang dijalankan, polis mendapati terdapat percubaan culik daripada beberapa lelaki yang datang dengan kereta atau van dengan cuba menarik pekerja menaiki kenderaan berkenaan.
“Kami meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sekitar kawasan kilang itu dan menemui beberapa keterangan serta petunjuk yang dapat membantu siasatan kes berkenaan,” katanya semalam.
Katanya pihak polis turut meningkatkan rondaan di sekitar kawasan Jalan Sungai Pinang bagi menjaga keselamatan pekerja dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Mior Faridalathrash berkata kes itu sedang disiasat menurut Seksyen 363 dan 511 Kanun Keseksaan dan pihak polis juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau suspek yang terlibat dengan
menyalurkan maklumat ke talian 04-2181822 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Kejadian cubaan culik pekerja kilang itu menjadi viral di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp hari ini dan mereka mendakwa hampir menjadi mangsa penculikan dengan suspek memberhentikan kereta sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan.