
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Paul Ritchie yang dipetik China Press berkata, khabar angin yang tersebar di media sosial itu adalah palsu kerana syarikat terbabit tidak pernah mengeluarkan sebarang berita mengenai penutupan operasi.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berkongsi maklumat, memandangkan khabar angin yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp itu tidak dikeluarkan Tesco.
Ritchie juga berterima kasih kepada pelanggan yang menelefon syarikat itu untuk mengetahui keadaan sebenar dan berharap pekerja, pembekal serta rakan niaga mereka terus menaruh kepercayaan terhadap Tesco.
“Tesco berazam terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan memperkukuhkan perniagaan di negara ini,” katanya yang menambah orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai syarikat itu melalui Facebook Tesco.
Khabar angin mendakwa Tesco berhasrat menamatkan operasi di Malaysia disebabkan faktor kewangan dan cukai.
Syarikat itu dikatakan sedang menghentikan pekerjanya secara berperingkat-peringkat dan berunding dengan beberapa peruncit tempatan untuk mengadakan lelongan.
Tesco adalah rangkaian pasar raya terkemuka di United Kingdom.