Ulat parkir ‘yatim piatu’ didenda RM500

Ulat parkir ‘yatim piatu’ didenda RM500

Muhammad Daniel terpaksa merengkok dalam penjara kerana tidak mampu membayar denda selepas mengaku bersalah mendesak pemandu meletakkan kenderaan.

parking_ulatq
KUALA LUMPUR:
Seorang ‘ulat parkir’ remaja didenda RM500 atau penjara satu bulan oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendesak dan mengarahkan pemandu meletakkan kenderaan tanpa kuasa sah.

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Daniel Shaik Iman, 20, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Jalan Lumut, di sini, pada 10.50 malam semalam.

Muhammad Daniel seorang yatim piatu bagaimanapun terpaksa merengkok dalam penjara kerana tidak mampu membayar denda itu. Dia dihantar ke Penjara
Kajang.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal manaka tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

“Saya terpaksa melakukan perbuatan itu, saya hidup sebatang kara di sini, saya tidak ada rumah, tidur pun di kaki lima. Saya membesar di rumah kebajikan,” katanya dalam nada sedih.

Katanya hari itu (hari kejadian) merupakan hari pertama dia bekerja sebagai ‘ulat parkir’ bagi mendapatkan wang untuk menyewa bilik.

Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu ditangkap polis semasa dia menghampiri dan meminta seorang pemandu kereta meletakkan kenderaannya di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.