
Khairy berkata, pendrive dan salinan isi kandungan dalam pemacu pena itu diserahkan kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki untuk tindakan lanjut.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas penemuannya, sebaliknya menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dan mendedahkan penemuan mereka.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kandungan pemacu pena berkenaan tidak pernah diubah dan beliau meminta Azam mengesahkannya.
“Kandungan pendrive itu sama dengan apa yang Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berikan kepada saya.
“Demi kepentingan awam, saya cadangkan kandungan pendrive itu didedahkan kepada umum selepas mereka melengkapkan siasatan,” katanya selepas menyerahkan pendrive itu kepada SPRM.
Beliau bagaimanapun berkata, permintaan itu bergantung kepada SPRM.
Ketua Pemuda Umno itu berkata, jika ada keperluan, beliau sedia dipanggil untuk membantu siasatan SPRM.
Khairy berkata, TMJ memaklumkan terpulang kepada beliau untuk melakukan apa yang dikehendakinya dengan pendrive itu dan katanya, beliau tidak tahu siapa pemberi maklumat yang menyerahkan pendrive itu kepada Tunku Ismail.
Awal minggu ini, Khairy berkata, beliau akan menyerahkan bukti ketirisan dalam FAM jika menemuinya dalam dokumen setebal 279 muka surat yang terkandung dalam pendrive itu yang diserahkan Tunku Ismail.
Khairy bagaimanapun berkata, banyak dokumen itu yang mengandungi butiran teknikal berkaitan bola sepak Malaysia dan bukan rasuah sahaja.
Katanya, beliau tidak mahu menyerahkan dokumen tidak relevan dengan SPRM, tetapi demi ketelusan, beliau serahkan juga pendrive itu kepada suruhanjaya berkenaan.
Julai lalu, Tunku Ismai melalui laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers mendedahkan beliau mempunyai pendrive yang mengandungi dokumen menunjukkan wujud kegiatan rasuah dalam FAM.
Bagaimanapun, TMJ menolak permintaan SPRM untuk menyerahkan pendrive itu kepada mereka, kerana katanya: “Terdapat banyak kes lain yang lebih besar di negara ini yang SPRM tidak dapat selesaikan. Mungkin lebih baik ia fokus kepada kes-kes yang belum diselesaikan itu.”
Pautan: