‘Ulama kita gemar petik hadis lemah pertahan pandangan pelik’

‘Ulama kita gemar petik hadis lemah pertahan pandangan pelik’

Umat Islam di Malaysia masih keliru mengenai status hadis dan kerap menggunakan hadis lemah dan palsu berbeza daripada sarjana di masa lampau yang lebih cermat, kata pengarah IRF itu.

farouk
KUALA LUMPUR: Golongan ulama di Malaysia gemar memetik hadis lemah dan palsu dalam mempertahankan pelbagai pandangan tidak masuk akal, kata aktivis Datuk Dr Ahmad Farouk Musa.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) berpusat di Kuala Lumpur itu berkata, pandangan itu kemudiannya disokong kebanyakan umat Islam, dan mereka yang mempersoalkannya kerap dilabel jahil atau anti-Islam.

Dr Farouk berkata hal itu berlaku disebabkan kekeliruan ramai umat Islam mengenai status sumber Islam seperti Al-Quran dan Hadis, sehingga menuduh mereka yang mempersoalkan kesahihan sesuatu hadis sebagai terkeluar daripada akidah.

Beliau menjelaskan, sementara umat Islam perlu yakin kandungan Al-Quran dijamin Allah tidak akan berubah, hal yang sama tidak terpakai ke atas hadis.

“Allah berfirman:  Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya,” kata Dr Farouk memetik ayat 9 dari Surah Al-Hijr.

Sebaliknya, hadis – iaitu apa-apa yang diriwayatkan sebagai perkataan, amalan atau sifat Nabi Muhammad – terdedah kepada risiko penambahan yang perlu disahkan oleh pengkaji hadis.

“Terdapat banyak hadis palsu. Sehinggakan Syaikh Nasiruddin Al-Albani menghasilkan berjilid-jilid buku mengenai topik ini.

“Salah satu karyanya diberi tajuk ‘Silsilah ahadith ad dhaifah wal mauduah’, iaitu ‘Kumpulan hadis lemah dan palsu’.

“Oleh itu adalah salah untuk mengatakan seseorang yang menolak hadis lemah dan palsu sebagai menolak Islam,” katanya kepada FMT.

Hadis hak suami

Dr Farouk mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang mempertahankan tindakannya memetik sebuah hadis mengenai hak suami dalam hubungan seks dalam menjelaskan tiada istilah “rogol dalam Islam”.

Hadis yang diriwayatkan Ibn Majah itu memetik Nabi Muhammad bersabda sekiranya suami isteri sedang menunggang unta dan si suami meminta isteri melakukan hubungan seks, dia mesti melakukannya.

Kenyataan Harussani itu mengundang sindiran beberapa pertubuhan hak asasi yang minggu lalu menobatkan anugerah “Aiyoh Wat Lah” terhadap mufti itu kerana membuat kenyataan “hina intelek”. Turut dinamakan anugerah itu ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Tindakan itu mengundang kemarahan beberapa pihak termasuk PAS dan Perkasa, yang mahu penganjur anugerah berupa sindiran itu memohon maaf.

Bagaimanapun, pendakwah Wan Ji Wan Hussin berkata hadis yang dipetik Harussani itu tergolong sebagai “daif” (lemah), iaitu kategori paling rendah dalam menilai kualiti dan kesahihan sesuatu hadis.

“Dalam sanad (rangkaian perawi) hadis ini, ada pencerita hadis bernama Husain bin Qais. Ulama hadis seperti Ibn Hajar dan Al-Bukhari tidak menerima hadis yang diriwayatkan dari pencerita hadis bernama Husain bin Qais,” katanya kepada FMT, merujuk dua sarjana hadis terkemuka.

Harussani mempertahankan hadis dipetiknya.

“Mereka yang mempersoal hadis tersebut tidak perlu dilayan, hindarkan orang yang hanya menentang agama,” kata mufti Perak itu.

Dr Farouk berkata golongan agamawan di Malaysia memetik hadis tanpa terlebih dahulu mempelajari konteks mahupun kesahihan hadis itu.

Katanya, sarjana Islam di masa lampau menghasilkan pelbagai kaedah saintifik menilai hadis dan menolak banyak hadis selepas mendapati ia tidak memenuhi syarat ketat yang menjadikan hadis itu sahih.

“Mereka inilah yang betul-betul mencintai sunnah dan hadis Nabi,” katanya.

 

Harussani petik hadis ‘daif’ cemar imej Islam, kata Wan Ji

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.