Sasaran Piala Dunia tak realistik, FAM tumpu Asia

Sasaran Piala Dunia tak realistik, FAM tumpu Asia

FAM menumpukan kelayakan ke Piala Asia selepas mengakui Piala Dunia bukan sesuatu yang realistik buat masa ini.

Datuk Hamidin Mohd Ami
PETALING JAYA: Selepas dikritik kerana gagal melayakkan Malaysia ke dalam kejohanan bola sepak bertaraf dunia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur dengan kelemahannya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tidak ada pasukan kebangsaan yang konsisten dalam prestasi bola sepak.

Bercakap kepada FMT, Hamidin berkata pasukan handalan dunia seperti Brazil dan Jerman juga ada turun naiknya.

“Pasukan bola sepak Sepanyol juga pernah terkeluar dalam peringkat tertinggi.”

Beliau mengakui FAM masih gagal dan belum menemui formula yang terbaik walaupun pelbagai usaha FAM termasuk pimpinan terdahulu untuk menempatkan pasukan kebangsaan ke kejohanan Piala Dunia yang menjadi impian pasukan bola sepak sesebuah negara.

Kini, kelayakan ke Piala Dunia terlalu awal untuk dibincang, katanya.

“Sebelum cerita Piala Dunia lebih baik kita melayakkan pasukan kebangsaan ke Piala Asia.”

FAM menjadi bahan kritikan dan kutukan peminat, kerana hanya mampu memenangi pingat emas di Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010 selepas kewujudan 30 tahun.

FAM terus dikutuk selepas pasukan kebangsaan dibelasah dengan jaringan 10-0 dengan pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia baru-baru ini, menyebabkan ia gagal melayakkan diri dalam kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Positif

Hamidin berkata FAM menerima segala pandangan daripada mana-mana pihak termasuk peminat fanatik pasukan bola sepak kebangsaan.

“Kita tidak boleh salahkan peminat. Kritikan itu perlu dan kalau kritikan itu positif, kita akan ambil dan gunakannya. Tetapi pandangan itu juga mestilah bukan untuk kepentingan sendiri seperti menyerang secara individu dan bukannya untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Tetapi beliau berharap peminat tidak menghukum FAM dan memahami keadaan semasa.

“Kita kena faham, permainan bola sepak kini sudah menjadi seperti industri. Kadang-kadang pandangan peminat itu jauh sekali daripada fakta.

“Ini kerana perturan sesuatu pertandingan bola sepak berubah. Misalnya peraturan Bola Sepak Asia (AFC) berubah. Jika dahulu pertandingan Sea Games mereka membenarkan setiap pasukan menggunakan pemain senior.

“Tetapi untuk 5 hingga 10 tahun akan datang mereka menetapkan untuk menggunakan pemain di bawah 22 tahun. Ini menyukarkan perancangan kita,” katanya.

Piala Asia 2019

Buat masa ini, sasaran utama FAM ialah membawa pasukan kebangsaan melayakkan diri ke kejohanan Piala Asia 2019 di UAE.

FAM masih menaruh harapan kepada jurulatih pasukan kebangsaan Datuk Ong Kim Swee untuk membawa cabaran dalam pusingan kelayakan yang sedang berlansung.

“Buat masa ini kita tidak ada perancangan untuk mengambil jurulatih luar negara. Kita masih mempercayai kewibawaan Kim Swee bagi membimbing pasukan kebangsaan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.