
Peguam hak asasi manusia N Surendran berkata cadangan itu mendedahkan banduan, keluarga yang melawat dan kakitangan penjara kepada risiko kesihatan, dan memungkinkan penularan penyakit.
“Cadangan itu tidak waras dan malah membawa bencana kepada kesihatan awam,” tegas Surendran, mengulas cadangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah hari ini.
“Saya tidak pernah dengar cadangan yang sebegitu kejam. Kenyataan itu perlu dipandang serius memandangkan beliau seorang bekas hakim,” katanya kepada FMT.
Menurut laporan Bernama, Mohd Noor menggesa mana-mana penjara yang memberikan ‘kemudahan bertaraf lima bintang’ kepada banduan berhenti berbuat demikian.
Menurutnya, keadaan yang selesa tidak bantu menginsafkan banduan, malah ada yang sengaja melakukan jenayah agar dapat menikmati kemudahan, jaminan tempat tinggal dan makanan di penjara.
“Beliau seorang yang terpisah daripada keadaan semasa penjara. Silap kalau kata banduan terima layanan VIP,” kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen.
Menurut Eric, pihaknya tidak tahu ada laporan yang menyatakan banduan mendapat layanan istimewa di penjara.
“Laporan yang ada misalnya daripada Suhakam adalah tentang keadaan penjara yang buruk. Antaranya kelengkapan dan makanan yang teruk,” tambahnya.
FMT sedang berusaha mendapatkan komen Jabatan Penjara Malaysia berhubung cadangan itu.
Pautan: