Nazir Razak tidak terjejas peraturan baharu BNM

Nazir Razak tidak terjejas peraturan baharu BNM

Zafrul berkata, hasil perbincangan mengenai keputusan BNM itu, CIMB memutuskan Nazir tidak terjejas dengan peraturan baharu itu, memandangkan ia hanya tertakluk kepada pelantikan baharu.

Tengku Zafrul
PETALING JAYA: Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak tidak terjejas dengan peraturan baharu Bank Negara Malaysia (BNM) yang melarang bekas ketua pegawai eksekutif dilantik sebagai pengerusi di bank sama.

The Malaysian Reserve memetik Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hasil perbincangan mengenai keputusan bank pusat itu, CIMB memutuskan Nazir tidak terjejas dengan peraturan baharu itu, memandangkan ia hanya tertakluk kepada pelantikan baharu.

“Beliau (Nazir) dilantik sebagai pengerusi sebelum peraturan itu diumumkan. Tarikh penguatkuasaan tidak diawalkan.

“Apabila peraturan baharu itu diumumkan, beliau sudah menjadi pengerusi dan kita bergerak dari situ. Sebarang peraturan tidak boleh diundurkan tarikhnya,” kata Zafrul kepada akhbar perniagaan itu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab laporan The Straits Times (ST) Singapura yang peraturan baharu BNM diumumkan awal bulan ini mungkin menjejaskan kedudukan Nazir di CIMB.

Laporan itu turut menyatakan Nazir mungkin terjejas apabila kedudukannya sebagai pengarah dalam lembaga (CIMB) perlu dilantik semula oleh jawatankuasa pencalonan bank itu pada tahun depan.

Bagaimanapun, andaian itu turut ditolak Zafrul.

Peraturan baharu BNM menyatakan ketua pegawai eksekutif institusi kewangan dilarang mengambil alih jawatan pengerusi lembaga pengarah dan sesebuah institusi kewangan itu perlu mempunyai majoriti pengarah bebas dalam lembaga pengarah masing-masing.

Menurut laporan itu, peraturan berkenaan bertujuan memisahkan pemilikan dan pengurusan bank sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka yang lebih luas kepada pendeposit, pemegang akaun pelaburan, pemegang polisi dan peserta, selain untuk menghapuskan sebarang konflik kepentingan yang mungkin timbul dalam operasi perniagaan harian.

Adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif CIMB antara 1999 hingga 2014, sebelum menjadi pengerusi kumpulan.

Jawatan Nazir Razak di CIMB dipersoal selepas panduan baharu BNM

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.