Singapura kesan 41 kes Zika, kebanyakan pekerja asing

Singapura kesan 41 kes Zika, kebanyakan pekerja asing

Seramai 34 pesakit pulih sepenuhnya, manakala tujuh masih dirawat di hospital.

Zika-Singapore
SINGAPURA: Sebanyak 41 kes jangkitan virus Zika disahkan berlaku di Singapura dengan kebanyakannya membabitkan pekerja asing dalam sektor pembinaan.

Kementerian Kesihatan dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura dalam satu kenyataan bersama berkata, seramai 34 pesakit pulih sepenuhnya, manakala tujuh masih dirawat di hospital.

Sabtu lalu, pihak berkuasa mengesahkan seorang wanita Malaysia yang tinggal di tenggara Singapura adalah pesakit pertama jangkitan tempatan virus Zika di negara itu, kerana dia tidak pernah berkunjung ke negara lain dijangkiti virus berkenaan.

Pihak berkuasa terbabit berkata, seramai 124 orang yang kebanyakannya pekerja binaan asing daripada sebuah tapak pembinaan di kawasan sama di Singapura sudah menjalani pemeriksaan, di mana 78 orang disahkan negatif virus Zika, 34 lagi sudah pulih sepenuhnya, manakala lima kes masih menunggu hasil ujian.

Tapak pembinaan itu sudah diarah menghentikan semua operasi dan asrama pekerja juga diperiksa.

Empat lelaki tempatan yang dikesan menghidap simptom virus Zika, minggu lalu, dimasukkan ke hospital kelmarin.

Tidak jelas pekerja asing itu berasal dari mana dan bila kes mereka dikesan. Singapura mempunyai sejumlah besar pekerja dari sub benua Asia.

Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada pesakit itu pernah berkunjung ke negara dijangkiti virus Zika.

“Ini mengesahkan berlaku jangkitan tempatan virus Zika. Kementerian tidak boleh menolak kemungkinan berlaku penyebaran komuniti kerana ramai pesakit disahkan positif juga tinggal atau bekerja di bahagian lain di Singapura,” menurut kenyataan itu yang turut menjangkakan lebih banyak kes dikesan positif virus Zika.

Singapura melaporkan kes pertama jangkitan virus Zika pada Mei lalu oleh seorang lelaki pertengahan umur yang pernah ke Brazil.

Kira-kira 200 pegawai NEA dikerah membersihkan longkang dan menyembur racun serangga di kawasan perumahan semalam bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, manakala sukarelawan dan kontraktor turut mengedarkan risalah serta semburan penghalau serangga.

Virus Zika yang disebarkan melalui nyamuk Aedes, mula dikesan di Brazil tahun lalu sebelum merebak ke seluruh benua Amerika. Wanita hamil adalah golongan paling berisiko kerana ia akan menyebabkan kecacatan teruk ketika kelahiran bayi.

Ia dikaitkan dengan lebih 1,600 kes sindrom mikrosefali – di mana kepala bayi akan mengecil.

Wanita Malaysia pesakit pertama dijangkiti Zika di Singapura

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.