Virus Zika: Tingkat saringan kesihatan di pintu masuk Johor

Virus Zika: Tingkat saringan kesihatan di pintu masuk Johor

Saringan kesihatan itu juga akan dijalankan di terminal penerbangan tempatan yang menerima penerbangan terus dari Singapura, seperti Pulau Pinang dan Langkawi.

hilmi-zika
PENDANG:
Kementerian Kesihatan akan meningkatkan saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa di Johor, berikutan kes pertama virus Zika membabitkan rakyat Malaysia di Singapura.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, saringan kesihatan itu juga akan dijalankan di terminal penerbangan tempatan yang menerima penerbangan terus dari Singapura, seperti Pulau Pinang dan Langkawi.

“Memang kita sudah ada pasukan yang menjalankan saringan kesihatan di pintu masuk Johor, tetapi kita akan tambah jumlah anggota kesihatan bagi menjalankan pemeriksaan bagi mengesan virus Zika.

“Kita turut menjalankan ‘tremor scan’ di terminal penerbangan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Summer Health Camp Kelab Doktor Muda Peringkat kebangsaan, hari ini.

Semalam, seorang wanita warga Malaysia berumur 47 tahun yang tinggal di Singapura dikesan positif virus Zika, walaupun beliau tidak pernah berkunjung ke negara dijangkiti virus itu.

Dr Hilmi berkata, sehingga kini, tiada kes virus Zika dikesan hasil pemeriksaan secara rambang ke atas lebih 700 orang sejak Jun 2015.

“Sejak Jun 2015 hingga 26 Ogos lalu, kita menjalankan pemeriksaan secara rambang terhadap 752 orang dengan menjalankan ujian dan menghantar sampel yang diambil di makmal dan hasilnya semua didapati negatif,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berharap pengendali kantin di semua sekolah mengikuti Prosedur Operasi Standard yang disediakan kementerian bagi mengelak berlakunya kes keracunan makanan.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak kes keracunan makanan berlaku, jadi kita minta pihak pengurusan kantin mengikut langkah yang kita sediakan dan sekiranya gagal, tindakan boleh diambil,” katanya.

Seramai 224 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara menyertai program tersebut.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.