
Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mereman lelaki berusia 42 tahun itu sehingga 2 September ini.
Lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada jam 11.09 malam tadi, apabila tampil memberi keterangan.
Sementara itu, pengarah urusan sebuah bank bergelar Datuk, bekas pegawai bank sama, pemilik syarikat penerbitan dan pegawai syarikat penerbitan sama dilanjutkan reman selama dua hari, bermula esok sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kes sama.
Lelaki bergelar Datuk berusia 48 tahun itu ditahan berhubung kes tender penukaran sistem bank dan penerbitan biografi berkaitan seorang pemimpin negara.
Khamis lalu, SPRM menahan lapan individu berumur 32 hingga 48 tahun antara jam 2 petang hingga tengah malam di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.
Jumaat lalu, empat individu terdiri daripada dua peguam wanita, seorang penulis buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara dan isteri kepada bekas pegawai bank itu, dibebaskan.
Semalam, seorang pengarah syarikat penerbitan buku berusia 40 tahun yang ditahan di kediamannya di Kuantan, Pahang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes sama.
Sehingga kini, enam lagi masih ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut.