Mufti Perak antara pemenang Anugerah ‘Aiyoh Wat Lah’

Mufti Perak antara pemenang Anugerah ‘Aiyoh Wat Lah’

Menurut penganjur, tujuan anugerah ini diadakan untuk memastikan pegawai-pegawai awam bertanggungjawab ke atas kenyataan atau tindakan yang dibuat oleh mereka.

aiyoh-wat-lah
PETALING JAYA:
Mufti Perak, Harussani Zakaria salah seorang pemenang bagi kategori “ucapan tak masuk akal” dalam Anugerah “Aiyoh Wat Lah” yang diadakan di V Square, Petaling Jaya hari ini.

Beliau memenangi anugerah itu bagi kenyataannya pada April 2015 iaitu isteri mesti bersetuju mengadakan hubungan seks dengan suami walaupun “mereka menunggang di belakang unta.”

Selain Harussani, turut memenangi anugerah bersifat mengajuk yang diadakan secara tahunan anjuran Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) kali ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut penganjurnya, tujuan anugerah ini diadakan untuk memastikan pegawai-pegawai awam bertanggungjawab ke atas kenyataan atau tindakan yang dibuat oleh mereka.

Daniella Zulkifili dari Persatuan Peguam Wanita berkata, “Kami bukan sahaja tidak mahu mereka tidak mengucapkan perkara tertentu tetapi menggantikan kenyataan negatif dengan positif ataupun majlis anugerah ini akan menunjukkan mereka supaya bertanggungjawab terhadapnya.”

Anugerah “Aiyoh Wat Lah” yang mula diadakan pada 2012 ini mempunyai tujuh kategori iaitu anugerah kaki di mulut, ucapan tak masuk akal, tidak boleh diabaikan, dasar yang gagal, cukup sudah, sangat tidak membantu kepada kewanitaan dan halu tuju tepat.

Pemenang untuk kategori “kaki di mulut” adalah Jakim yang mengedarkan risalah pada Februari tahun lepas bertajuk, “10 mitos mengenai homoseksual”. Risalah itu mengemukakan tuntutan tidak berasas mengenai golongan gay termasuk kurang cenderung untuk setia kepada pasangan mereka.

Pemenang anugerah “tidak dapat diabaikan” jatuh kepada tindakan polis terhadap wartawan BFM Aisyah Tajuddin dan jurucakap G25 Noor Farida Ariffin pada Disember tahun lalu atas kesalahan menghasut dan menghina agama Islam dan bukan menyiasat pihak yang mengancam kedua-dua mereka dengan ugutan rogol dan keganasan fizikal termasuk bunuh.

Pemenang “sangat tidak membantu persaudaraan wanita” dirangkul Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang pada Jun 2015 berkata, peruntukan berkenaan dengan Seksyen 375 Kanun Keseksaan menyatakan hubungan antara pasangan suami isteri yang sah terus kekal berkuat kuasa dan tidak boleh dianggap rogol.

Pemenang “cukup sudah” disampaikan kepada JAIS bagi khutbah Jumaat yang dibuat pada Februari tahun lalu mengenai satu analogi yang mengaitkan wanita mendedahkan aurat mengundang bahayanya sendiri.

Pemenang “dasar yang gagal” pula kepada Mahkamah Rayuan atas keputusan pada Mei tahun lepas yang membebaskan seorang lelaki berusia 60 tahun merogol remaja berusia 15 tahun kerana hanya memasukkan jarinya yang berlumur air mani ke dalam faraj mangsa dan bukan melalui penetrasi zakar.

Pemenang “hala tuju tepat” diberikan kepada Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto yang berkata ahli parlimen perlu berhenti menghakimi dan menyalahkan wanita kerana pakaian mereka, dan hanya dengan itu wanita akan diberi perhatian serius daripada pemangsa.

Pemenang dipilih menerusi sistem mengundi yang dibuka tiga setengah minggu dengan disertai 1,065 orang berumur di bawah 18 tahun hingga di atas 46 tahun dan ini termasuk pengundi dari Australia dan Amerika Syarikat.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.