
Berpegangkan prinsip itu, ratusan orang dari segenap lapisan masyarakat berjaga malam, ke hulu ke hilir di beberapa taman rekreasi di Lembah Klang, dengan hanya berbekalkan telefon bimbit mencari watak animasi yang kini menjadi kegilaan global.
Fenomena harian itu bermula sejak lebih sebulan aplikasi permainan Pokemon Go dilancarkan secara rasmi sehingga menjadi sejenis ketagihan di kalangan tua dan muda, malah sering dikaitkan dengan aspek keselamatan.
Antara dua lokasi yang sering menjadi tumpuan pemain Pokemon Go pada lewat malam ialah Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur dan Taman Jaya di Petaling Jaya.
Tinjauan FMT mendapati Taman Jaya, kawasan rekreasi utama di tengah bandar raya Petaling Jaya yang kebiasaannya lengang selepas tenggelam matahari, kini menjadi tumpuan orang ramai yang gilakan permainan itu.
Mereka datang ke situ dan meluangkan masa berjam-jam dalam keheningan malam sehingga ke awal pagi, semata-mata untuk menangkap “Pikachu” dan watak Pokemon Go lain.
Ketika lawatan FMT, sekurang-kurangnya 50 orang sedang asyik dengan permainan itu, yang merupakan aplikasi paling banyak dimuat turun hampir menandingi Whatsapp dan Facebook.
Mereka termasuk, T. Haruldas, 23, yang bekerja sebagai jurutera rangkaian.
Beliau sanggup lambat pulang ke rumahnya di Bukit Jalil dan menghabiskan masa di Taman Jaya menangkap “Pikachu” yang banyak terdapat di situ.
Tetapi Haruldas hanya datang pada waktu cuti dan tidak pada hari kerja, kerana percaya dengan pengurusan masa yang baik.
Berlainan pula dengan seorang peguam yang hanya mahu dikenali sebagai Soo, 35, yang datang ke sini bermain Pokemon Go bagi menghilangkan tekanan tempat kerja.
Katanya, Pokemon Go juga memaksanya “bersenam” ketika berjalan-jalan di kawasan terbabit.
“Boleh berpeluh sebelum nak tidur. Saya tak boleh main waktu siang hari sebab kena kerja. Sebab dekat sini pun terang, ada ramai orang baik juga senaman untuk legakan badan,” katanya.
Untung berniaga
Walaupun ramai yang bimbang akan kesan buruk Pokemon Go, peniaga, Khairizal Yuhaidi, 26, hanya tersenyum dengan keuntungan hasil menjual minuman kepada golongan tegar Pokemon Go yang berkunjung di Taman Jaya.
“Sejak ada permainan ini, banyak juga jualan yang dapat. Sebab mereka, kalau tak ada benda ini, taman ini tak ada ramai orang sangat pun,” katanya.
Khairizal kini membuat untung kasar RM100 sehari.
Lain pula dengan Mohd Shafiq Sharifuddin, 22, pelajar di Universiti Teknologi Malaysia yang ke situ untuk “menyelam sambil minum air”.
Shafiq yang berniaga air, mengakui dia juga bermain Pokemon Go.
“Sambil main Pokemon ambil kesempatan untuk dapatkan wang tambahan.
“Keuntungan (juga) setakat ini alhamdulillah,” katanya.
Datuk Bandar alu-alukan orang ramai
Mengulas mengenai tumpuan peminat Pokemon Go yang semakin ramai di taman reakreasi, Datuk Bandar Petaling Jaya Tuan Mohd Azizi Mohd Zain berkata ia tidak menjadi masalah asalkan tidak menganggu orang lain yang datang untuk riadah.
“Taman ini adalah untuk masyarakat, untuk riadah, berehat. Kalau dah ramai sangat pergi ke kawasan itu, saya sebagai Datuk Bandar suka taman ini digunakan oleh masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, sekiranya makin ramai yang berkunjung, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengeluarkan permit kepada mereka yang mahu berniaga di situ.
“Kita pun tak tahu sampai bila jumlah mereka yang datang ke Taman Jaya,” katanya kepada FMT.