
Najib berkongsi gambar nota itu dalam Instagram milik beliau berkata, lelaki bernama Davianan menyerahkan sepucuk nota selepas beliau merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Cameron Highlands.
Nota yang ditulis dalam bahasa Tamil itu menyatakan Davianan tinggal di Cameron Highland selama 67 tahun dan beliau berterima kasih atas bantuan Najib yang membantu mendapatkan geran rumah serta tanah untuk pertanian.
“Encik Davianan menyerahkan sendiri satu nota, yang saya minta pegawai saya terjemahkan. Nota ini sangat menyentuh hati saya. Beliau kata terima kasih kepada saya kerana telah membantunya mendapatkan geran tanah untuk pertanian dan perumahan, yang membolehkan beliau mencari nafkah hidup. Ketika itu saya bertugas sebagai Menteri Besar Pahang,” jelas Najib dalam muat naik statusnya.
“Dalam menunaikan tugas, saya tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan kerana ia adalah amanah dan tanggungjawab saya. Namun, nota terima kasih ini amat bermakna dan menceriakan hari saya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berbakti kepada semua dan akan saya teruskan,” tambah beliau lagi.
Najib menjadi Menteri Besar Pahang pada tahun 1982 hingga 1986, antara menteri besar yang termuda di negara ini iaitu pada usia 29 tahun.