
“Saya tegaskan keputusan yang diambil ketika memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 adalah demi keselamatan negara,” katanya dalam catatan terbaharunya di laman Facebook dan Twitter hari ini.
Najib berkata penegasan sama diutarakannya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Cameron Highlands pagi tadi.
Pengenalan Akta MKN 2016, kata Najib, adalah bagi melindungi negara daripada sebarang ancaman dan bukannya seperti tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya ia untuk kepentingannya sendiri.
“Ada yang tuduh saya ingin guna kuasa dan Akta ini untuk kepentingan diri.
“Namun rakyat perlu ingat, setiap keputusan yang dibuat kerajaan tidak pernah bersifat peribadi.
“Apa yang lebih penting adalah melindungi rakyat serta kedaulatan negara daripada sebarang ancaman,” kata beliau.
Rang Undang-undang MKN, yang memperuntukkan penubuhan MKN, perisytiharan kawasan keselamatan, kuasa-kuasa khas Pasukan Keselamatan di kawasan keselamatan dan perkara-perkara lain berkaitan, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Dis 2015, dan Dewan Negara pada 22 Dis 2015.
Ia kemudiannya diwartakan pada 7 Jun lepas dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos lalu.
Pautan: