
“Orang semakin cepat berjalan, mesyuarat semakin cepat berakhir,” kata warga Ireland itu dalam wawancara bersama Channel News Asia.
Bellew menggantikan warga Jerman, Christoph Mueller, yang ditugaskan menyusun semula struktur syarikat itu, berikutan kerugian besar yang dialami selepas 2 insiden melibatkan Penerbangan MH370 yang hilang dan MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Ketika ditanya mengenai dakwaan Mueller sejurus sebelum melepaskan jawatannya yang beliau pernah melihat kakitangan tidur sewaktu bertugas, Bellew berkata beliau tidak mendapati ia berlaku.
“Saya tidak menemui sesiapa yang tidur. Dan saya tak pasti sama ada Christoph juga pernah menemui (staf tidur),” katanya.
Dakwaan Mueller itu mencetuskan kemarahan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam), yang sebelum itu membidas pembuangan lebih 6,000 pekerja MAS dalam penyusunan semula syarikat itu.
Ia juga mengundang gesaan bekas CEO MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, yang mahu Mueller dipecat dan jawatannya diisi warganegara tempatan.
Bellew bagaimanapun berkata beliau “faham sepenuhnya” dengan sentimen kurang selesa terhadap seorang warga asing seperti beliau yang mengemudi syarikat penerbangan kebangsaan itu.
“Sekiranya orang Malaysia yang menguruskan Ryanair atau Air Lingus (syarikat penerbangan Ireland), sudah tentu akan ada banyak suara bantahan. Saya faham sepenuhnya,” kata Bellew.
“Akan wujud mereka yang kurang senang dengan seorang Mat Salleh menguruskan Malaysia Airlines, tetapi saya abaikannya.”
Sementara itu, Bellew yakin dengan proses pemulihan Malaysia Airlines dan berkata ia kini menumpukan usaha mengurangkan kos.
“Misalnya, berapa upah untuk orang yang bertugas mengisi minyak pesawat?
“Dan sekiranya beli nasi lemak di Shanghai, berapa bayarannya di sana?” katanya.