
Menurut Mavcom, pelanggan hanya perlu memohon bayaran balik daripada bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit tersebut.
“Pertanyaan mengenai bayaran balik harus dibuat terus kepada bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit di dalam kategori “perkhidmatan yang tidak diterima” atau kategori yang sama.
“Setiap bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit mungkin mempunyai terma dan syarat yang berlainan berkenaan perkhidmatan bayaran balik, jadi adalah wajar bagi pengguna-pengguna perkhidmatan Rayani Air menghubungi pihak bank dengan segera,” jelas Mavcom dalam satu kenyataan media.
Namun, pihaknya juga akui, pengguna mungkin perlu mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan kepada bank tersebut bagi proses bayaran balik.
Lesen perkhidmatan udara penerbangan syarikat penerbangan berkonsepkan patuh syariah, Rayani Air, dibatalkan pada 13 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas Rayani Air melanggar syarat yang ditetapkan lesen tersebut di samping kedudukan kewangan dan komersial yang lemah untuk terus beroperasi.
Pada 25 Mei, Mavcom mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rayani Air mengenai daya tahan kewangan dan daya saing syarikat tersebut.
Sebelum itu, Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air digantung tiga bulan berkuat kuasa 11 April.
Penggantungan itu dikeluarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas syarikat yang baharu beroperasi pada Disember 2015 itu mengumumkan menggantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA pada 8 April lepas.
Pautan: