
Memetik laman The Verge, beliau dalam satu kenyataan berkata langkah berkenaan perlu diambil susulan tindakan itu mencetuskan “ancaman dan menghina” terhadap polis.
Katanya, beliau memfailkan laporan agar tindakan dapat diambil terhadap mereka yang menyebarkan gambar itu dan mengeluarkan kenyataan berbau ancaman di media sosial.
Terdahulu, Guardian melaporkan seorang wanita didatangi sekurang-kurangnya 4 anggota polis Perancis dan mengarahkannya membuka burkini yang dipakainya di pantai di Nice.
Gambar itu mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa dan disifatkan sebagai diskriminasi terhadap golongan wanita dan umat Islam.
Laman itu turut memetik sebuah blog berbahasa Perancis, Numerama yang berkata Pejabat Datuk Bandar ketika dihubungi gagal memberikan penjelasan perundangan berhubung laporan yang dibuat Estrosi.
Mengulas perkara itu, aktivis hak asasi Perancis Yasser Louati menyifatkan tindakan Estrosi sepatutnya mempersoalkan tindakan anggota polis itu sendiri, bukannya cuba mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan gambar.
“Jika rakyat tidak boleh mengutuk amalan tidak adil dan tindakan mengaibkan perempuan di tempat terbuka, siapa lagi yang dapat melakukannya?” soalnya dipetik daripada media itu.
Setakat ini, 15 bandar di Perancis melarang pemakaian burkini di tempat terbuka.
AFP semalam melaporkan, mahkamah pentadbiran tertinggi di Perancis kini sedang menimbang permintaan agar larangan tersebut ditarik balik.
Pautan