6 tahun ‘baby hatch’ selamatkan insan bergelar ‘anak luar nikah’

6 tahun ‘baby hatch’ selamatkan insan bergelar ‘anak luar nikah’

Yayasan OrphanCare puas hati dengan kejayaannya selama ini, dan menepis pandangan sesetengah pihak pusat itu menggalakkan seks luar perkahwinan.

Free Malaysia Today
PETALING JAYA: “Baby hatch”, atau pusat perlindungan bayi yang diwujudkan bagi menyelamatkan nyawa bayi, tidak boleh dipersalahkan sekiranya berlaku peningkatan perlakuan seks di luar perkahwinan.

Yayasan OrphanCare yang mengendalikan “baby hatch” mempersoalkan tanggapan sesetengah pihak yang berkata pusat seumpama itu seolah-olah menggalakkan hubungan seks tanpa perkahwinan.

Pengurusnya Syarhah Mohamed Nasir berkata, masalah seks luar nikah bukan sesuatu yang baharu, malah ia bermula sejak awal tamadun manusia lagi.

“Masa itu OrphanCare tak ada,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini.

Sebelum ini, penubuhan “baby hatch” pada tahun 2010 mencetuskan kontroversi apabila masyarakat melihatnya sebagai menggalakkan lebih banyak kelahiran bayi luar nikah.

Pertubuhan Islam seperti Ikatan Muslim Malaysia (Isma), misalnya, berpandangan pusat sedemikian bukanlah penyelesaian bagi menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius.

Tetapi Syarhah berkata sekiranya mahu membanteras perlakuan seks di luar perkahwinan dan kegiatan tidak bermoral, pihak berkuasa sewajarnya menutup pusat yang menggalakkan maksiat seperti pusat urut.

Cerita ibu mengandung anak luar nikah

Enam tahun selepas penubuhannya, pusat itu baru-baru ini berkongsi dengan FMT pengalamannya.

Ia termasuk seorang wanita berumur 30 yang pada mulanya hendak menghantar bayinya yang dilahirkan hasil hubungan luar nikah ke “baby hatch”, tetapi akhirnya membuat keputusan tidak berbuat demikian selepas mendapat kaunseling daripada Syarhah.

“Dia (Syarhah) menyedarkan saya yang keluarga saya tetap ada walau apa dugaan yang melanda, lebih-lebih lagi ibu saya kerana kami sangat rapat.

“Setelah menghubungi ibu saya, ibu menyuruh saya pulang ke kampung bersama bayi. Ibu saya marah tetapi ibu memberitahu walau apa pun, bayi ini tetap cucunya.

“Kerana itu saya menukar fikiran untuk menyerahkan anak saya sebagai anak angkat dan membuat pilihan untuk membesarkan anak saya sendiri,” katanya.

Proses ambil bayi

Menurut statistik, sebanyak 78 kes pembuangan bayi dilaporkan dari Januari hingga Ogos tahun lalu, dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 15 kes diikuti Kedah (11 kes), Johor (9 kes), Kuala Lumpur (8 kes), Sabah (7 kes) dan baki 28 kes lain lagi melibatkan negeri lain.

Syarhah berkata sejak “baby hatch” ditubuhkan sehingga kini, pihaknya menerima 25 orang bayi (dari orang awam) dan 4 lagi bayi diterima daripada rakan usaha samanya, Hospital KPJ.

Beliau berkata pihaknya tidak mengetahui asal usul bayi yang diserahkan kepada pusat mereka.

Bayi akan diserahkan kepada ibu bapa angkat yang layak.

Ibu bapa yang mahu memohon mendapatkan anak angkat daripada OrphanCare boleh mengisi borang pendaftaran, yang turut disediakan di lamannya www.orphancare.org.my.

Mereka kemudian dipanggil untuk temuduga sebelum dilatih sebagai ibu bapa angkat.

Staf pusat itu kemudian akan melawat rumah bakal ibu bapa angkat bagi membantu membuat persediaan menerima ahli baharu keluarga.

Syarhah berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menguruskan sijil lahir bayi angkat terbabit dan pasangan yang menerima bayi angkat itu juga akan menerima surat tawaran JKM dalam tempoh 2 tahun di samping perintah mahkamah.

Selepas 2 tahun, ibu bapa angkat itu boleh membawa ketiga-tiga dokumen terbabit ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan sijil anak angkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.