4 bulan selepas hilang kerja, jurutera O&G masih menganggur

4 bulan selepas hilang kerja, jurutera O&G masih menganggur

Bekas jurutera Petronas masih bergelut mencari kerja selepas pemberhentian kerja berikutan krisis kewangan sektor O&G.

menanggur
KUALA LUMPUR:
Pada 1 Mei tahun ini, ketika seluruh dunia menyambut sumbangan pekerja, Rosdi Che Harun dengan rasminya menjadi seorang penganggur.

Bekas jurutera operasi Petronas ini merupakan antara beribu-ribu kakitangan sektor minyak dan gas (O&G) yang terpaksa menjalankan pembuangan staf secara besar-besaran berikutan kejatuhan harga minyak sedunia, sementara bonus dan kenaikan gaji dibekukan bagi mereka yang bernasib baik mengekalkan jawatan.

Dalam sekelip mata, mereka yang bergelar “jurutera O&G” yang selama ini dibayar gaji lumayan menjadi sebahagian daripada statistik penganggur dan terpaksa menceburkan diri dalam bidang lain sementara menunggu pasaran minyak pulih.

Kini, selepas 4 bulan, Rosdi yang berasal dari Terengganu masih bergelut mencari kerja.

Malah beliau terpaksa menjual rumah kedua di Shah Alam yang dibeli menerusi program pinjaman Petronas, selepas diberi masa 6 bulan untuk menjelaskan baki pinjaman.

Beliau menerima pakej pemisahan sukarela (VSP) dari Petronas pada April lalu, di mana pengurusan memberikan masa 2 minggu untuk menimbangkan perkara itu.

“Mereka berkata tidak tahu apa yang akan berlaku kepada pekerja yang menolak VSP. Atas ketidaktentuan itu, saya akhirnya terima,” katanya kepada FMT.

Pada 1 Mac lalu, Petronas mengumumkan penilaian strategik untuk kecekapan operasinya dalam menghadapi cabaran industri minyak dan gas, yang antaranya menyebabkan lebihan lebih 1,000 jawatan.

Rosdi berkata beliau kini menyara keluarga dan membayar komitmen bulanan dengan wang pampasan yang diterima, selain dibantu isteri yang bekerja sebagai penjawat awam.

“Ketika tempoh awal menganggur, saya tidak henti-henti menghantar permohonan kerja, dan pernah diterima oleh sebuah syarikat perkilangan di Shah Alam. Namun terpaksa tolak kerana tidak dapat berjauhan dengan isteri yang perlu menjaga mertua yang uzur.

“Saya juga ada berniaga secara atas talian, tetapi belum cukup berhasil. Sepanjang tempoh ini, saya hanya mendapat sekitar RM500,” katanya lagi.

Rosli bagaimanapun kekal optimis, dan kini berusaha mendapatkan peluang pekerjaan di Timur Tengah.

Baru-baru ini, Presiden Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata ia berjaya menjimatkan RM3.4 bilion sejak memulakan langkah pengurangan kos pada 2015, dan akan meneruskannya walaupun harga minyak dunia kembali pulih.

Bangga sebahagian keluarga Petronas

Lain pula nasib Nik Ahmad Izwan Nik Mat.

Bekas pekerja kontrak Petronas Carigali ini mengambil keputusan berhenti secara sukarela apabila mendapat tahu kontraknya tidak akan diperbaharui, apatah lagi diterima sebagai kakitangan tetap selepas 3 tahun bekerja sebagai eksekutif penyelenggaraan.

Walaupun tidak lagi bersama Petronas, beliau tetap mengenang Petronas sebagai syarikat yang memberikan pengalaman berharga kepadanya sebagai seorang jurutera.

“Saya bangga berpeluang menjadi sebahagian daripada Petronas. Di sana, banyak perkara yang dianggap mustahil berjaya kami selesaikan.

“Saya dapat menimba ilmu dengan pekerja yang berpengalaman dan hebat. Bekerja di luar pesisir (offshore) juga mencabar dan menambahkan pengalaman saya sebagai jurutera,” kata Nik Ahmad, kini bekerja sebagai pengurus operasi di sebuah lagi syarikat O&G.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.