Sanjeevan ditahan kerana dakwa miliki ijazah UK

Sanjeevan ditahan kerana dakwa miliki ijazah UK

Tertuduh dituduh memperdaya seseorang untuk percaya dia memiliki ijazah undang-undang dan pentadbiran perniagaan dari United Kingdom

R. Sanjeevan
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan memperdaya seseorang untuk percaya dia memiliki dua ijazah dari United Kingdom.

Majistret Mohd Faizal Ismail menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Sanjeevan didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan. Menurut kertas pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Cheras Leisure Mall di sini pada 1 Jun 2013. Tertuduh didakwa menipu S Sivam, seorang pengarah syarikat, supaya percaya beliau mempunyai ijazah undang-undang dan pentadbiran perniagaan dari United Kingdom.

Niatnya, menurut kertas pertuduhan, untuk memujuk Sivan mengambilnya sebagai perunding.

Sanjeevan juga didakwa mendorong Sivam menyerahkan RM95,000 kepadanya.

Sanjeevan berdepan hukuman penjara 10 tahun, sebat dan denda atau keduanya jika disabit kesalahan.

Dia menghadapi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 atas tuduhan menipu Sivam untuk mendapatkan kedudukan perunding itu.

Sebelum itu, dia ditawarkan jaminan RM20,000. Peguamnya, Gobind Singh, berhujah jumlah itu berlebihan.

“Dia berdepan empat lagi pendakwaan di mahkamah berlainan,” katanya. “Setakat ini dia sudah belanjakan RM23,500 untuk ikat jamin.”

Gobind beritahu mahkamah anak guamnya ditangkap hendap pada Rabu di Damansara sebaik turun daripada kenderaan. “Polis tahu bagaimana untuk hubunginya,” kata peguam itu. “Tetapi, mereka tetap datang untuk tangkap.”

Sanjeevan tidak diberi rawatan dan makanan sepanjang ditahan semalaman, tambahnya.

Anak guamnya akan membangkitkan hal tangkapan dan layanan dalam tahanan pada perbicaraan nanti, kata Gobind.

Sanjeevan berdepan dua pendakwaan di Mahkamah Majistret Temerloh dan Kuala Lumpur. Dia didakwa atas tuduhan pemerasan. Dia juga minta dibicarakan bulan lalu di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Seremban kerana didakwa mengambil seorang pendatang asing tanpa dokumen yang sah untuk bekerja dengannya, dan memeras RM25,000 daripada seorang lelaki.

Dia sebelum ini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) selama 21 hari untuk membantu siasatan polis. Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus dan membebaskan dia daripada tahanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.