
Maryam, Sakina dan Ali Dharas dalam perjalanan ke Naples untuk bercuti menggunakan penerbangan EasyJet dari Lapangan Terbang Stansted ketika didatangi seorang anak kapal kabin.
Menurut laporan AFP, adik-beradik itu dikepung pegawai polis bersenjata yang menuntut mereka untuk bercakap dalam bahasa Inggeris.
Sakina pula mengakui mereka hanya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris kerana lahir dan membesar di London.
Tambahnya, seorang penumpang melaporkan melihat dia dan adik-beradiknya menghantar teks pesanan ringkas bahasa Arab, “Allahu Akbar” dalam telefon bimbit mereka dan menuduh mereka sebagai penyokong IS.
“Jika kami tidak memakai tudung, perkara ini tidak mungkin berlaku dan kami juga tidak mungkin berada dalam situasi ini,” kata Maryam dalam satu wawancara dengan Channel 4 News.
“Ia sangat menggerunkan untuk didampingi anggota polis bersenjata di tempat seperti ini (lapangan terbang), dengan dakwaan kononnya kami membaca bahan berkaitan Islamic State (IS),” katanya kesal.
Maryam juga mendedahkan, dia dan adiknya ketika itu sedang membaca perbualan Whatsapp antara mereka dan bapa mereka.
“Saya menunjukkan masa dan waktu perbualan kami yang direkod dalam aplikasi itu. Saya dan ayah saya bercakap tentang kepemimpin haluan kiri Jeremy Corbyn.
“Kecuali berhaluan kiri itu sendiri satu jenayah, maka kami benar-benar melakukan kesalahan pada pagi itu,” jelasnya.
Maryam akui tiada permohonan maaf yang sampaikan kepada mereka.
“Kami dihina. Kami malu. Kami dilayan seperti penjenayah. Diseret di hadapan semua orang.
Adik lelaki Maryam, Ali bagaimanapun tidak disoal seperti adik-beradik perempuannya yang lain.
“Mungkin kerana saya tidak sesuai dengan profil pencarian mereka memandangkan personaliti saya bukan seperti Islam tipikal.
“Tetapi adik beradik perempuan saya memakai tudung, ia mudah bagi mereka mengaitkan dengan profil berkaitan pengganas,” kata Ali.
Ketiga-tiga mereka juga difahamkan langsung tiada kaitan dengan Arab malah asal-usul mereka adalah India.
Dalam satu kenyataan media, polis Essex berkata, mereka terpaksa bertindak demikian selepas dihubungi aduan bimbang dengan tingkah laku tiga orang yang asyik melihat telefon bimbit mereka.
“Tindakan pantas pegawai terlibat membuktikan tiada kesalahan yang dilakukan adik-beradik itu. Kami juga berpuas hati kerana panggilan itu berniat yang baik,” kata seorang jurucakap polis kepada AFP.
EasyJet mengeluarkan kenyataan bertindak demikian sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga.
“Keselamatan dan perlindungan penumpang serta anak kapal adalah keutamaan kami. Jika wujud kebimbangan atas keselamatan penumpang, kami akan sentiasa menyiasatnya dahulu sebagai langkah berjaga-jaga. Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul kepada penumpang,” petik kata kenyataan tersebut.