Penyerang guna ambulans bom hotel di Pattani

Penyerang guna ambulans bom hotel di Pattani

Ambulans itu dicuri daripada Hospital Pakaharang di Muang, Pattani jam 10 malam tadi (waktu tempatan), sebelum dipasang bahan letupan.

bomb-pattani
PATTANI:
Polis Thailand mengesahkan kenderaan yang digunakan dalam serangan bom ke atas sebuah hotel di Pattani malam tadi adalah ambulans hospital.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa berkata, ambulans itu dicuri daripada Hospital Pakaharang di Muang, Pattani jam 10 malam tadi (waktu tempatan), sebelum dipasang bahan letupan.

“Ambulans itu kemudiannya diletakkan di depan Hotel Southern View dan meletup pada 11.30 malam, menyusuli letupan bom buatan sendiri di pusat hiburan pada 11 malam,” katanya hari ini.

Beliau berkata, dua suspek terlibat dalam serangan bom di hotel berkenaan, iaitu pemandu ambulans terbabit dan seorang penunggang motosikal yang mengambilnya kemudian untuk melarikan diri.

Thanongsak berkata, polis turut mengambil keterangan empat sukarelawan yang bertanggungjawab ke atas ambulans itu.

Dalam insiden itu, sebutir bom buatan sendiri dan bom yang dipasang pada sebuah kenderaan meletup selang beberapa minit di pusat hiburan serta hotel di tengah-tengah bandar Pattani, mengakibatkan seorang wanita maut dan 35 lagi cedera.

Empat daripada mangsa cedera itu berada dalam keadaan kritikal di Hospital Pattani.

Sebutir lagi bom meletup di daerah Nongchik pada jam 12 tengah malam, namun tidak menyebabkan kecederaan dan kematian.

Thanongsak berkata, bom dalam kenderaan yang diletak di hadapan Hotel Southern View setinggi lapan tingkat dengan 85 bilik itu, diledak menggunakan jam digital.

Beliau berkata, hotel itu serta 10 premis perniagaan berhampiran, lima kereta dan tujuh motosikal turut mengalami kerosakan teruk akibat letupan itu.

Katanya, mesyuarat Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) yang sepatutnya berlangsung hari ini, dibatalkan susulan insiden itu.

SBPAC merupakan agensi kerajaan pusat yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi dan sosial di selatan Thailand.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Thailand, Jeneral Chaktip Chaijinda yang meninjau lokasi serangan bom di Pattani hari ini berkata, Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha bimbang dengan situasi di wilayah bergolak itu.

Chaktip berkata, Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Prawit Wongsuwan yang bertanggungjawab ke atas isu keselamatan mengarahkan beliau bermesyuarat dengan pegawai keselamatan di Pattani.

“Ia bagi membolehkan tindakan dapat dipertingkat untuk menjaga dan mengawal keselamatan di bandar Pattani,” katanya sambil menambah pihak keselamatan akan bekerja keras untuk memburu suspek serangan bom itu.

Chaktip dan beberapa pegawai kanan polis tiba di Pattani pagi ini.

Setakat ini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab melakukan serangan bom malam tadi.

1 maut, 30 cedera letupan bom dekat hotel Pattani

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.