Kumpulan anti Islam ‘berjanggut’ lancar serangan di Prague

Kumpulan anti Islam ‘berjanggut’ lancar serangan di Prague

Kekecohan itu rupa-rupanya hanya lakonan menunjukkan “pencerobohan Islam” yang dirancang ahli politik Czech, Martin Konvicka yang anti Islam.

Populist politician stages “Islamic State invasion” in Old Town Square
PRAGUE: Pengunjung di dataran Old Town di sini terkejut apabila sebuah jip dinaiki sekumpulan lelaki berjanggut, ada yang berpakaian seragam tentera dan sebahagian lagi memakai baju tradisional negara Timur Tengah memandu masuk ke situ dan mula menembak ke udara sambil melaungkan “Allahuakbar”, Ahad lalu.

Washington Post melaporkan, kumpulan lelaki itu turut mengibarkan bendera IS dan memegang seorang tahanan yang memakai baju warna merah dalam kenderaan mereka dan turut ditampilkan ialah seekor unta bersama penunggang.

Rupa-rupanya, “pencerobohan Islam” di Prague itu sebenarnya hanya lakonan dirancang Martin Konvicka, seorang ahli politik Czech yang lantang mengkritik Islam dengan semuanya palsu termasuk janggut, tembakan senjata hanya peluru kosong dan mereka menyewa unta itu.

Acara itu dirancang bersempena ulang tahun ke-48 pencerobohan Soviet terhadap Czechoslovakia pada 21 Ogos 1968.

Seorang jurucakap Konvicka memberitahu agensi berita Dnes, niat ahli politik itu ialah untuk menunjukkan kepada penduduk bandar itu “apa yang berlaku hari ini pada setiap hari” hanya beberapa ribu kilometer dari Prague dan kini mula “menembusi” kawasan tengah dan barat Eropah.

Polis tempatan memberitahu Radio Prague, kumpulan Konvicka mendapat kebenaran untuk membuat “persembahan” menampilkan tembakan palsu itu pada antara jam 1 hingga 5 petang pada Ahad tetapi rancangan tidak berjalan seperti diharap.

Menurut Washington Post, pencerobohan palsu itu menyebabkan panik di dataran itu, salah satu tempat tumpuan pelancong di Prague dan ramai yang bertempiaran lari mencari perlindungan apabila terdengar bunyi tembakan.

“Persembahan itu bermula jam 2 petang. Kira-kira 15 minit kemudian, tembakan senapang palsu mula berbunyi,” kata jurucakap polis Prague, Tomas Hulan.

“Ini menyebabkan panik di dataran itu kerana ramai tidak tahu apa yang berlaku dan ingatkan ia benar-benar tembakan pengganas. Ada yang cuba melarikan diri atau mencari perlindungan,” katanya.

Bercakap selepas kejadian itu, Konvicka menyalahkan peserta bantahan kerana kekecohan itu dan berkata beliau sedih kerana keseluruhan persembahan itu – termasuk lakonan menunjukkan kepala Presiden Czech Miloš Zeman dipenggal – tidak sempat dipersembahkan.

Republik Czech mempunyai populasi Muslim yang terabai – dianggarkan kira-kira 20,000 orang, kurang daripada 0.2% daripada keseluruhan populasi – dan ia bukan destinasi utama untuk pelarian dan migran Muslim. Sebalik semua itu, kebimbangan mengenai Islam tersebar luar dalam negara berkenaan.

Konvicka melakukan cubaan menukar sentimen ini kepada gerakan politiknya, dengan baru-baru ini membentuk Alternatif untuk Republik Czech 2017 – dirangka daripada Alternatif untuk Jerman, model parti populis berhaluan kanan yang berjaya – dalam merancang pilihan raya tahun depan.

Beliau sudah banyak kali menjadi dalang dalam gerakan anti Islam sejak akhir-akhir ini, termasuk protes di depan sebuah masjid di mana Al-Quran turut dibakar.

Lakonan “pencerobohan Islam” Konvicka itu bukan satu-satunya yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan ini. Minggu lalu, satu kumpulan anti Islam di Australia merempuh masuk sebuah gereja Anglican di New South Wales dan melaungkan doa orang Islam.

https://www.youtube.com/watch?v=si32p402haA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.