
Jurucakap penganjur yang juga dikenali sebagai Gabungan #TangkapMO1, Muhamad Luqman Nul Hakim berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai penyiasat bernama Inspektor Khoo kerana didakwa memberi maklumat palsu berhubung lokasi mahkamah yang sepatutnya mendengar permohonan reman itu.
“Mereka dinafikan hak untuk diwakili peguam oleh pegawai berkenaan semasa pendengaran reman dengan memberi maklumat palsu mengenai lokasi mahkamah,” katanya di pintu masuk Ibu Pejabat Bukit Aman.
Sabtu lalu, tiga mahasiswa ditahan polis kerana menceroboh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak ketika mengadakan sudut pidato dan mengedarkan risalah TangkapMo1.
Mereka ialah Timbalan Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Luqman Nul Haqim Zul Razali; Exco Dakwah Persatuan Mahasiswa Islam UM, Luqman Hakim Fazli dan Timbalan Pengerusi Pro Mahasiswa UM Sabah, Ashraff Nazrin.
Keesokannya, Mahkamah Majistret Batu Gajah meluluskan reman tiga hari supaya tiga mahasiswa itu dapat disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Muhamad Luqman berkata, peguam dimaklumkan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Ipoh menyebabkan peguam serta ahli gabungan itu terpaksa menunggu sehingga empat jam.
“Akhirnya peguam mendapat tahu proses reman sudah selesai di Mahkamah Majistret Batu Gajah. Ini merupakan tindakan tidak bertanggungjawab polis.
“Kami berharap PDRM melakukan siasatan terhadap Inspektor Khoo atas salah lakunya,” katanya sambil menambah Gabungan #TangkapMO1 diwakili dua peguam, iaitu Mohd Fitri Asmuni dan Khairul Anuar Musa.
Beliau berkata, setiap individu mempunyai hak berhimpun secara aman seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan penubuhan gabungan itu tidak didalangi parti polis, sebaliknya ia ditubuhkan atas kesedaran mahasiswa sendiri.
“Tiada sebarang campur tangan orang politik. Kami mewakili mahasiswa mahu mencari kebenaran dengan menggesa kerajaan mencari siapa wajah di sebalik MO1,” katanya.
Himpunan #TangkapMO1 akan diteruskan di Dataran Merdeka pada 27 Ogos ini, walaupun dibantah polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga bertegas tidak akan meluluskan permohonan penganjur, sebaliknya mencadangkan ia diadakan di Padang Merbok.
Pautan:
Edar risalah di UiTM, 3 aktivis himpunan #TangkapMO1 ditahan