Ladang babi di Perak bebas jangkitan penyakit kuku dan mulut

Ladang babi di Perak bebas jangkitan penyakit kuku dan mulut

Dr Fuziah berkata, analisa risiko serta pemeriksaan di 78 ladang babi di Perak dalam tempoh tiga hari itu mendapati, semua ternakan terbabit bebas daripada jangkitan penyakit kuku dan mulut.

Ladang-babi-di-Perak
PETALING JAYA: Harga daging babi tidak patut mengalami kenaikan hanya kerana pusat penyembelihan di Perak serta Pahang ditutup selama tiga hari, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Fuziah Muhayat berkata, pusat penyembelihan yang ditutup sejak Selasa lalu itu, sudah dibuka semula Jumaat lalu.

“Ia bukan ditutup selama seminggu, hanya tiga hari sahaja kerana pihak kami menjalankan pemeriksaan khas bagi mengelakkan jangkitan.

“Tempat penyembelihan sudah dibuka semula pada petang Jumaat lalu. Jadi, tidak timbul isu mengatakan (penutupan) tempat penyembelihan menyebabkan harga di pasaran bakal meningkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan The Star semalam berhubung ura-ura kenaikan harga daging babi ekoran penutupan rumah penyembelihan di Perak dan Pahang, sejak Rabu lalu.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengedar Daging Babi, Chan Nyen Loong dilaporkan berkata, pengguna di Lembah Klang mungkin perlu membayar harga lebih tinggi, susulan gangguan bekalan akibat penutupan rumah penyembelihan di dua negeri itu sekurang-kurangnya seminggu.

Chan berkata, Perak merupakan antara pengeluar babi utama di Malaysia yang mengeluarkan kira-kira 900 kilogram bekalan untuk memenuhi permintaan pasaran Lembah Klang setiap hari.

Dr Fuziah berkata, analisa risiko serta pemeriksaan di 78 ladang babi di Perak dalam tempoh tiga hari itu mendapati, semua ternakan terbabit bebas daripada jangkitan penyakit kuku dan mulut.

Beliau berkata, jabatannya pada Selasa lalu menerima aduan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang mengatakan ada babi yang dibawa dari negeri itu dikesan dijangkiti penyakit kuku dan mulut di Rumah Sembelih Kuantan.

Rabu lalu, tujuh ladang babi di Pulau Pinang dilaporkan berdepan denda sehingga RM25,000 kerana menyembunyikan kes 690 ekor babi didapati dijangkiti penyakit kaki dan mulut.

Sejak itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengkuarantinkan ternakan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.