51 maut dalam serangan bom di majlis kahwin di Turki

51 maut dalam serangan bom di majlis kahwin di Turki

Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan berkata kumpulan pengganas IS mungkin bertanggungjawab melakukan serangan itu.

turki
ANKARA:
Sekurang-kurangnya 51 terbunuh dan berpuluh yang lain cedera dalam serangan yang mungkin dilakukan seorang kanak-kanak pengebom bunuh diri dalam majlis perkahwinan di bandar Gaziantep di sini, berhampiran sempadan Syria, lewat petang semalam waktu tempatan.

“Jumlah mereka yang terbunuh dalam pengeboman pengganas ialah, hingga hari ini 50 orang,” kata pejabat Gabenor Ali Yerlikaya dalam satu kenyataan, menaikkan jumlah 30 sebelum itu.

Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan berkata kumpulan pengganas IS mungkin pelaku serangan bom itu.

Dalam satu kenyataan beliau berkata “tiada beza” antara kumpulan pendakwah Fethullah Gulen berpangkalan di Amerika Syarikat, didakwa melakukan cubaan rampasan kuasa pada Julai, Parti Pekerja Kurdi (PKK) yang diharamkan dan IS kemungkinan besar melakukan serangan di Gaziantep.

Serangan itu nampaknya dijalankan apabila sekumpulan orang ramai dari majlis perkahwinan itu keluar ke jalan raya sebagai sebahagian daripada sambutan, kata sumber keselamatan.

Ia berlaku di daerah Sahinbey di bandar yang dikatakan mempunyai sejumlah besar penduduk Kurdi. Menurut laporan, ramai orang Kurdi menghadiri majlis perkahwinan itu.

Ambulans meluru ke tempat kejadian dan rakaman video daripada penyiar CNN Turk menunjukkan polis dan pekerja perkhidmatan kecemasan bergegas melalui jalan yang sesak dengan orang ramai.

Imej dari tempat kejadian menunjukkan mayat diselimuti lembaran putih manakala saudara mara mangsa ditenangkan di tepi jalan.

“Bahagian anggota badan yang berdarah dan mayat bersepah,” kata seorang saksi, Veli Can, 25.

“Negara kita dan bangsa kita sekali lagi mempunyai hanya satu mesej buat mereka yang menyerang kita – kau tidak akan berjaya!” kata Erdogan, sambil menambah serangan PKK ke atas pasukan keselamatan pada bulan lepas saja, mengorbankan 70 nyawa.

Beliau berkata tujuan serangan seperti di Gaziantep itu ialah memecahbelahkan kumpulan berbeza di Turki, seperti orang Arab, Kurdisdan Turkoman dan “menyebarkan hasutan mengikut garis etnik dan agama”.

Terdahulu, Ahli Parlimen Samil Tayyar Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memerintah, menulis di Twitter militan IS disyaki dalang serangan itu, manakala Timbalan Perdana Menteri Mehmet Simsek memberitahu stesen televisyen NTV ia dilakukan pengebom bunuh diri.

Mehmet Erdogan, ahli Parlimen AKP bagi Gaziantep, berkata tidak jelas siapa bertanggungjawab bagi letupan itu tetapi ada “kemungkinan tinggi” ia serangan bunuh diri.

Beliau menambah ia jenis serangan yang mungkin dilancarkan IS atau PKK.

Mahmut Togrul, ahli Parlimen Gaziantep daripada Parti Demokratik Rakyat yang pro Kurdi, berkata ia majlis perkahwinan Kurdi.

Ramai ahli parti itu menghadiri majlis tersebut, yang turut dihadiri ramai wanita dan kanak-kanak.

Letupan itu ialah serangan terbaru menggegarkan Turki, menyaksikan rentetan serangan yang dipersalahkan ke atas militan Kurdi dan Islam serta rampasan kuasa berdarah yang gagal pada 15 Julai.

 

pautan

60 maut, 754 ditahan cuba rampas kuasa di Turki

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.